TERKINI :

Thursday, October 6, 2016

Songlap duit kerajaan, boleh kaut beratus juta.. macamana negara tak bangrap..

KOTA KINABALU 5 Okt. - Kedua-duanya bukanlah ahli perniagaan atau terlibat dalam kegiatan judi ha­ram mahupun kartel dadah, sebaliknya mereka hanyalah penjawat awam tetapi seorang memiliki wang tunai RM45 juta manakala seorang lagi RM7 juta.

Itulah yang berjaya dibongkar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hasil penahanan empat orang suspek termasuk seorang pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan di sini.

Kesemua mereka dipercayai terlibat dalam kes menyeleweng dan menyalah guna dana kerajaan Persekutuan untuk projek infrastruktur bekalan air di Sabah sejak enam tahun lalu.

Selain wang tunai RM52 juta termasuk pelbagai mata wang asing bernilai RM8.3 juta milik kedua-dua penjawat awam ber­kenaan, turut memiliki koleksi barang kemas seperti berlian, batu permata, cincin, rantai, gelang dan subang yang bernilai jutaan ringgit; 92 beg tangan berjenama yang setiap satu dianggarkan bernilai ribuan ringgit serta 127 geran tanah di Sabah atas nama salah seorang suspek.

Ketika mengulas kejayaan operasi tersebut, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki yang menyifatkannya sebagai luar biasa berkata, kesemua suspek dipercayai telah mengumpul kekayaan sekurang-kurangnya sebanyak RM112 juta hasil perbuatan tersebut.

Ini kerana katanya, hasil siasatan, SPRM turut menyita akaun bank milik kesemua suspek yang bernilai RM23 juta, enam peti simpanan tunai yang salah satu berisi wang RM2.5 juta dan satu akaun milik seorang suspek yang mengandungi wang RM37 juta.

“Ini kejayaan yang sangat besar. Sebanyak 30 anggota kami mengira wang tunai tersebut (RM52 juta) selama 15 jam bermula 12 tengah hari semalam sehingga pukul 3 pagi ini. Mereka dikurung di dalam bilik untuk memastikan integriti sentiasa terjaga.

“Kesemua wang tunai itu dirampas hasil serbuan di rumah dan pejabat pengarah serta timbalan pengarah tersebut. Operasi yang dilakukan bermula pagi semalam sehingga tengah malam,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat SPRM di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Ba­hagian Perisikan SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dan Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Hishamuddin Hashim.

Azam berkata, SPRM telah me­mu­lakan siasatan terhadap ke­se­mua suspek sejak lebih setahun lalu dan serbuan yang dijalankan disertai 60 anggota keseluruhannya.

Turut dirampas sembilan buah kenderaan mewah milik suspek, antaranya Range Rover, Ford Ranger, Lexus, BMW, Audi dan Volvo.

Jelas beliau, pihaknya juga percaya suspek turut menyimpan wang rasuah di dalam bank di luar negara dan pihaknya akan ber­usaha untuk mendapatkan wang tersebut manakala nilai kesemua barang kemas yang dirampas masih belum diperoleh.

Sementara itu katanya, salah se­orang suspek yang bergelar Datuk adalah adik kepada timbalan pengarah itu manakala suspek keempat bekerja sebagai akauntan.

“Kesemua suspek ditahan di Kota Kinabalu dan kami te­lah mendapatkan perintah reman selama tujuh hari daripada Mahkamah Majistret. Saya tidak menolak kemungkinan selepas ini akan ada lagi tangkapan. Saya menyeru semua yang mempunyai maklumat untuk hadir di pejabat SPRM bagi membantu siasatan.

“Selama ini banyak kontraktor yang merungut tidak cukup makan kerana gagal mendapat kontrak. Kontrak-kontrak itu telah disalurkan kepada ahli keluarga suspek,” katanya.

Tambahnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 17(a) Akta SPRM, Seksyen 132 Akta Syarikat, Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Mereka masing-masing didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Sementara itu dalam satu ke­nyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menegaskan kerajaan negeri akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM bagi menyiasat kes berkenaan.

Beliau berkata, semua pihak perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan tanpa rasa takut atau dipengaruhi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...