TERKINI :

Tuesday, October 25, 2016

‘Soalan 1MDB Husni kerana gagal dapat jawapan kabinet’

 http://s3media.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2016/09/Husni-Ahmad-Husni-Hanadzlah.jpg
Senarai panjang soalan bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah berhubung dengan 1MDB di Dewan Rakyat semalam memberi petanda bahawa beliau tidak dimakumkan tentang apa yang berlaku, kata dua ahli parlimen pembangkang.

Menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua adalah perkara yang cukup aneh bagi bekas menteri kewangan itu yang sendiri membawa soalan di parlimen.

“Takkan beliau (Ahmad Husni) tidak tahu masa dirinya adalah menteri kedua. Maklumat-maklumat utama dan penting tentang 1MDB pun disembunyikan dari menteri kewangan kedua sendiri.

“Ini bermakna maklumat penting tentang 1MDB dirahsiakan daripadanya?

“1MDB seolah-olah menjadi operasi rahsia yang hanya seorang sahaja dalam kabinet - iaitu PM yang juga menteri kewangan - mengetahui segalanya," kata Pua ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ahmad Husni dilantik Menteri Kewangan Kedua pada April 2009, beberapa bulan sebelum perjanjian utama pertama 1MDB - iaitu usaha sama dengan PetroSaudi International yang tidak kekal lama.

Beliau meletak jawatan dari kabinet dan melepaskan semua jawatan dalam Umno pada Jun 2016.

Ahmad Husni bagaimanapun kekal sebagai ahli Umno dan kini berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Tambun bagi penggalnya yang kelima.

Jual sekarang, bayar 2020

Semasa perbahasan ucapan Bajet 2017 semalam, Ahmad Husni meminta kerajaan menyatakan sebab 1MDB ditubuhkan dan sama ada jika sebarang tindakan diambil terhadap pengurusan 1MDB kerana menyalurkan dana syarikat pelaburan negara itu ke "tempat yang salah".

Beliau juga menyoal mengapa kerajaan hanya akan dibayar pada tahun 2020 bagi penjualan 60 peratus kepentingan dalam projek Bandar Malaysia kepada sebuah syarikat Cina.

Ahmad Husni juga menyoal kerajaan sama ada imej Malaysia akan terjejas sekiranya 1MDB tewas dalam kes timbang tara di London berhubung tindakan International Petroleum Investment Co milik Abu Dhabi, yang menuntut lebih daripada AS$6.5 bilion daripada 1MDB.

Mengulas lanjut, Pua berkata beliau percaya Ahmad Husni telah bertanyakan soalan berkenaan semasa mesyuarat kabinet tetapi gagal mendapatkan jawapannya.

Katanya, adalah sedih bagi seorang bekas menteri untuk cuba mendapatkan jawapan tersebut di parlimen.

Ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini, Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Shafie Apdal berkata beliau gembira bahawa Ahmad Husni telah membangkitkan isu-isu berkenaan di Dewan Rakyat.

"Kami banyak menyoalnya dalam kabinet. Saya masih ingat bahawa beberapa soalan saya tidak diberikan jawapan. Tetapi saya gembira beliau menimbulkan soalannya itu.

"Kami berharap ini akan membekalkan kami dengan penjelasan lanjut," kata Shafie, yang adalah Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah sejak April 2009 sehingga penyingkirannya pada Julai tahun lalu.

Antara lain, Shafie berkata kerajaan mesti segera menjelaskan mengapa pembayaran tertunda dipersetujui bagi penjualan ekuiti dalam Bandar Malaysia.

“Apa (yang) dibangkit Ahmad Husni husni tentang hartanah kekayaan negara kita iaitu antara tanah cukup penting untuk Malaysia khusus di Sungai Besi, yang dekat di hati Angkatan Tentera.

“Saya masa dulu bertugas sebagai timbalan menteri pertahanan, kita pertahankan tanah itu dan pada hari ini dah pun dijual 60 peratus kepadap pelabur China dan pelabur ini cuma perlu bayar pada tahun 2020.

“Bayangkan lima hingga enam tahun dia beli barang baru bayar, kalau kita beli kereta tunggulah enam tahun baru perlu dibayar, ini satu perjanjian yang perlu desakan lanjut, mengapa demikian?” soalnya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...