TERKINI :

Wednesday, October 12, 2016

Skuad Helang Merah bakal dapat stadium baru

N Faizal Ghazali

Kerajaan negeri Kedah merancang untuk merealisasikan sebuah stadium bola sepak baru susulan stadium sedia ada tidak dapat menampung jumlah penonton lebih ramai.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini memberi gambaran stadium baru tersebut akan dibina dengan kapasiti lebih besar bagi menampung kehadiran penonton pada satu-satu masa.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berkata, kewujudan stadium baru itu juga dilihat dapat meningkatkan jualan tiket bagi membantu perbelanjaan skuad Helang Merah.

"Sekarang ini, dalam konteks perbelanjaan bola sepak hari ini RM2 juta sebulan tak cukup, (perbelanjaan) Kedah saja lebih kurang RM25 juta setahun.

"Tapi Insya-Allah kalau beginilah semangat yang ditunjukkan walaupun dengan perbelanjaan besar begitu, dengan peminat yang cukup ramai, kita jangan mengalah dalam hal ini," katanya ketika berucap di majlis Perjanjian Persefahaman (MOU) antara KFA dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara di Putrajaya, hari ini.

Pada majlis itu juga turut berlangsung pelancaran logo Akademi Bola Sepak Allahyarham Datuk Ahmad Basri yang terletak di Alor Setar, Kedah.

Justeru Ahmad Bashah berkata, dengan sokongan padu peminat bola sepak Kedah, kerajaan negeri akan membina satu lagi stadium.

"Kita minta kementerian bantu sikit untuk buat satu stadium lain bagi menampung 70,000 hingga 80,000 penonton, (stadium) sekarang tak cukup dah.

"Dengan adanya stadium itu, kalau akademi dah hebat, stadium dah besar, penonton dah ramai makna kata kutipan daripada jualan tiket boleh menampung perbelanjaan (KFA)," jelasnya.

Sementara itu Setiausaha Agung KFA, Datuk Aminuddin Omar menjelaskan perancangan pembinaan stadium baru itu sudah dibincangkan di peringkat awal.

Bagaimanapun setakat ini katanya, kerajaan negeri belum membuat keputusan muktamad berkenaan lokasi, reka bentuk dan gambaran awal stadium tersebut.

"Dengan persembahan memberangsangkan pasukan Kedah sekarang, menteri besar telah menyatakan hasrat beliau untuk membina sebuah stadium baru yang mampu memuatkan jumlah penonton lebih ramai.

"Perkara ini masih di peringkat awal, kita belum putuskan di peringkat kerajaan negeri. Kalau ikut perbincangan awal stadium ini mempunyai kapasiti lebih 50,000 penonton dan padangnya menggunakan rumput asli," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...