TERKINI :

Wednesday, October 12, 2016

Siasatan Switzerland saksikan 'derma' RM2.6b jadi tumpuan semula


Tindakan pihak berkuasa Switzerland memaparkan urusniaga yang dipersoalkan membabitkan Falcon Private Bank sekali lagi menjadikan "derma Arab" RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai tumpuan.

Antara lain, Pihak Berkuasa Penyeliaan Pasaran Kewangan Switzerland atau Swiss Financial Market Supervisory Authority (Finma) memaparkan urus niaga dana berkaitan 1MDB berjumlah AS$681 juta dan pemulangan semula AS$620 juta.

Pihak berkuasa Swiss, bagaimanapun, tidak memberikan butiran tentang bagaimana AS$681 juta itu berakhir dan bila urusniaga itu dilakukan, tetapi jumlahnya sepadan dengan "derma" yang disalurkan ke akaun bank Najib pada tahun 2013.

Pada Januari tahun ini, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, ketika membebaskan perdana menteri daripada sebarang salah laku, mendedahkan bahawa Najib telah memulangkan sejumlah AS$620 juta kembali kepada "penderma" itu beberapa bulan kemudian.

Tidak segera balas e-mel

Sementara itu, Finma juga mendakwa Falcon melakukan "pelanggaran serius" peraturan pengubahan wang haram dalam urusannya dengan "seorang ahli perniagaan muda Malaysia yang mempunyai kaitan dengan individu tertentu kerajaan Malaysia".

Walaupun ia tidak menamakan "ahli perniagaan muda" itu, namun spekulasi bertiup kencang bahawa pihak berkuasa Switzerland menunjuk kepada Jho Low yang dikatakan rapat dengan keluarga Najib.

Low juga adalah antara mereka yang dinamakan dalam saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berhubung dakwaan penyelewengan berkaitan dengan dana 1MDB.

Menonjolkan persamaan antara urusniaga Falcon dan "derma" kepada Najib, agensi berita perniagaan Bloomberg juga cuba mendapatkan ulasan Pejabat Perdana Menteri mengenai kenyataan Finma itu.

"Pejabat Najib tidak segera membalas e-mel bagi mendapatkan ulasan berhubung kenyataan Finma," katanya.

Perdana Menteri berulang kali menafikan beliau menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi, dan menyalahkan dakwaan itu didalangi individu dan kumpulan yang berkomplot untuk menjatuhkannya.

Kenyataan Finma, dan arahan pihak berkuasa Singapura supaya cawangan bank Falcon di republik itu ditutup berlaku ketika Sarawak Report dalam laporan terbarunya mendakwa bahawa RM3.5 juta dalam bentuk tunai dimasukkan ke dalam akaun bank Najib pada sekitar Februari dan Mac, 2015.

Memetik kebocoran maklumat siasatan, ia mendakwa akaun berkenaan diuruskan oleh bekas Pengarah Urusan, SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil.

Nik Faisal adalah penandatangan untuk akaun berkenaan, dakwa Sarawak Report dalam e-mel.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...