TERKINI :

Tuesday, October 4, 2016

SIAPA SEBENARNYA LEBIH MAHU MUKHRIZ JADI PERDANA MENTERI?

Shahbudin Husin, 

http://s3media.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2016/10/mukhriz-annuar-musa.jpg
 
Apa agaknya mimpi buruk yang sering menghantui pemimpin-pemimpin UMNO sejak kebelakangan ini?

Ingatkan hanya Salleh Said Keruak atau Abdul Rahman Dahlan saja yang selalu tampil dengan idea atau kata-kata meracau, rupa-rupanya Annuar Musa juga, sejak dilantik menjadi Ketua Penerangan UMNO menggantikan Ahmad Maslan, seperti turut dijangkiti masalah yang sama.

Semalam Ahli Parlimen Ketereh itu dilaporkan mengalu-alukan sekiranya Mukhriz Mahathir mahu menyertai semula UMNO jika benar bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri.

Kalau betul Mukhriz nak jadi Perdana Menteri, tidak mustahil. Kalau nak balik, kita boleh bincang, katanya lagi.

Kenapa UMNO tiba-tiba ambil berat sama ada Mukhriz mahu jadi Perdana Menteri atau tidak?
 
Tidakkah UMNO sendiri sudah ada beberapa nama yang mengidam untuk menjadi Perdana Menteri, antaranya Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussien serta Khairy Jamaluddin?

Mengapa perlu dipelawa Mukhriz yang sudah dipecat daripada UMNO untuk menyertai semula parti itu dan digambarkan seolah-olah hanya melalui UMNO, seseorang itu dapat menjadi Perdana Menteri?

Bukankah pemimpin UMNO sendiri selalu mengecam tindakan Tun Mahathir Mohamad yang didakwa tidak habis-habis campurtangan dalam politik negara, meskipun sudah bersara sejak 2003, dengan menggambarkan ia untuk memastikan Mukhriz dapat menjadi Perdana Menteri?

Lalu, kenapa sekarang UMNO sendiri seperti memberi laluan kepada Mukhriz untuk menjadi Perdana Menteri?

Ataukah kenyataan Annuar itu menggambarkan ketakutan UMNO terhadap penerimaan rakyat kepada PPBM, lalu cuba menunjukkan sikap lunaknya supaya parti itu terus berkuasa?

Sesuatu yang Annuar, pemimpin UMNO atau macai berbayarnya mesti sedar ialah, majoriti rakyat sudah hilang keyakinan terhadap UMNO, BN dan kerajaan yang sedia ada.

Sebagaimana mereka sudah menunjukkan keinginan melakukan perubahan melalui isyarat 52 peratus undi popular menolak BN dalam pilihanraya 2013 lalu, iltizam itu semakin meningkat sekarang ini berikutan pelbagai masalah yang semakin buruk membelenggu kepimpinan Najib.

Kalau pun ditakdirkan UMNO dan BN terus kekal berkuasa, ia bukanlah disebabkan penerimaan rakyat sudah berubah atau mereka menerima Najib sebagai pemimpin yang baik dan boleh dimaafkan, tetapi lebih kerana berlakunya perpecahan di antara musuh-musuhnya.

Namun demikian, semua itu sedang diuruskan  sekarang kerana parti-parti pembangkang juga tidak mustahil menjadi lebih bertolak ansur lantaran memikirkan  keinginan perubahan di hati majoriti rakyat, lebih-lebih lagi Tun Mahathir turut sedang menggunakan pengalamannya selama ini untuk tujuan yang sama.

Dalam soal ini, yang penting bukan soal sama Mukhriz dapat menjadi Perdana Menteri atau sebaliknya, yang jauh lebih utama ialah kejayaan menyingkirkan Perdana Menteri sedia ada.

Bagi sesiapa yang inginkan perubahan dan seterusnya membawa kebaikan kepada rakyat, menjadi Perdana Menteri mungkin merupakan impian, tetapi memegang jawatan itu atas tiket UMNO yang telah dibusukkan ke seluruh dunia oleh Najib, bukanlah lagi suatu kebanggaan.

Maka, Annuar tidak perlu bersusah-payah melobi  mana-mana pemimpin PPBM, termasuk Mukhriz untuk ditonjolkan menjadi Perdana Menteri atas tiket UMNO. Yang perlu beliau risaukan ialah ada lagikah hayat politik Najib dan UMNO selepas ini?  (SH 04/10/2016).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...