TERKINI :

Tuesday, October 18, 2016

Pilihanraya ke 14, cabaran Pakatan Harapan dan Pribumi Bersatu

DR SYED ISKANDAR SYED JAAFAR AL MAHDZAR

http://www.malaysiadateline.com/images/OKT_2016/Mungkinkah_pembangkang_bersatu.jpg
Rakyat Malaysia baru-baru ini di kejutkan dengan kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun Dr M) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertemu dan bersalam serta berbincang dengan Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) mengenai pendirian Tun Dr M menyokong tindakan DSAI mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara 2015 (Akta MKN).

Tun Dr M bercadang memfailkan Affidavit Sokongan untuk menyokong permohonan DSAI dengan secara tidak langsung telah memulihkan kembali pasukan dua negarawan yang pernah memimpin negara dengan cemerlang.

Sekalipun minggu lepas Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan DSAI namun ianya perkara biasa untuk DSAI merayu ke Mahkamah Rayuan memandangkan tindakan mencabar keesahan Akta MKN sebagai bertentangan atau ultra vires patut di putuskan oleh Mahkamah Persekutuan sebagai Mahkamah tertinggi negara ini.

Gandingan kembali dua negarawan ulung negara patut di hormati oleh semua pihak termasuk pihak berkuasa yang menjaga keselamatan negara.

Pihak berkuasa keselamatan negara kini patut mula mengadakan siri mesyuarat dan Muhasabah tentang perkembangan semasa yang sedang berlaku.

Sekiranya mereka mendapati arahan yang diterima daripada pemimpin politik yang sedang memimpin kerajaan tidak patut diterima atas pelbagai sebab kukuh maka itulah yang sewajarnya mereka lakukan demi menghormati semangat pakaian seragam pasukan masing masing.

Kita patut berhenti menjadi seperti burung unta yang menyorokkan kepalanya ke dalam pasir tetapi seluruh badan yang begitu besar tetap jelas kelihatan pada semua.

Seluruh dunia tidak mungkin cemburu dengan kejayaan kita. Apakah agaknya yang sebenarnya negara kita berjaya sehingga seluruh dunia di kata kan cemburu terhadap negara kita?.

Kejayaan Malaysia tiada di zaman pimpinan sekarang. Adakah jumlah rakyat yang begitu ramai menerima BRIM itu sesuai dikatakan satu kejayaan Malaysia? ‘Akai ada ka’, meminjam kata kata Idris Hashim dalam filem Laksamana Do Re Me.

Belanjawan pimpinan sekarang yang asyik defisit dan hutang negara mencapai RM1 trillion serta pelbagai belanja seperti biasiswa , elaun pelajar samada di hentikan atau di lewatkan pembayarannya sekadar menyebut satu dua contoh ini boleh di anggap sebagai kejayaan negara untuk di cemburui oleh seluruh dunia sehingga menyebabkan mereka mula mengambil tindakan sivil dan jenayah terhadap syarikat hutang milik negara?

Rakyat mula beralih arah menyokong gabungan Pakatan Harapan dan Pribumi Bersatu.Peralihan beramai ramai daripada parti politik pemerintah dikatakan sebagai kecil dan tidak memberi kesan kepada mereka namun jika benar begitu, mengapakah media arus perdana yang setiap bulan perlu membayar akibat dari perintah Mahkamah kerana asyik mencanangkan berita fitnah.

Justru jangan terperanjat, jika satu hari nanti media media ini tidak lagi wujud dan akhirnya lokasi asal operasi mereka akan di jadikan pusat pemprosesan najis manusia sebagai kenang kenangan tentang apa yang mereka telah lakukan sebelum ini.

Masalah utama Pakatan Harapan ialah rakan kerjasama Pakatan Harapan iaitu Parti Pribumi Bersatu ialah pertamanya, segolongan ahli ahli ini sudah sebati membenci DSAI sehingga ada yang masih enggan menerima hakikat yang kedua dua negarawan sudah berbaik baik dan bertindak lebih sudu dari kuah daripada pemimpin mereka sendiri yang telah berbaik baik demi untuk memastikan angka menyebelahi mereka semasa Piliharaya Umum ke 14 nanti.

Golongan ini akan bermuka muka dengan pemimpin mereka sendiri namun tetap cuba mempengaruhi ahli lain supaya meneruskan kebencian tidak berasas terhadap DSAI melainkan asyik mengulangi skrip lama yang sememangnya sudah basi.

Masalah kedua segolongan ahli Pribumi Bersatu ialah ada yang masih menganggap parti DAP sebagai musuh walhal yang banyak menjahanamkan negara sebenarnya bukan DAP.

Ini sekali lagi kerana sudah sebati dalam benak mereka yang berkenaan untuk membenci DAP selama lamanya tanpa sebab munasabah kecuali asyik mengulangi segala jenis berita lapok yang di reka cipta semenjak mereka belum lahir lagi dan cuma menerima bulat bulat tanpa menyemak apa yang di canangkan pada mereka.

Perbuatan golongan ini sebenarnya tidak akan membantu dalam menambah jumlah undi dalam Pilihanraya ke 14 nanti memandangkan undi kaum cina kini menyebelahi DAP bukannya MCA.

Kemenangan BN dalam 2 Pilihanraya Kecil tidak memberi indikasi yang pengundi cina menyokong MCA memandangkan pengundi Cina mungkin tertarik kepada jumlah dana serta projek yang diperuntukkan di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Kehadiran golongan yang membenci DAP tanpa sebab tanpa fakta tanpa bukti boleh mengakibatkan angka yang diperlukan untuk berkuasa selepas Pilihanraya ke 14 mungkin tidak dapat di capai.

Masalah ketiga ialah segolongan yang memasuki Parti Pribumi Bersatu memasuki kerana mungkin beranggapan peluang mereka mendapat kontrak perniagaan dengan mudah sekalipun baru menubuhkan syarikat tanpa sebarang kelayakan dan pengalaman selepas menguasai kerajaan nanti akan menyebabkan mereka berpaling tadah jika terdapat janji yang lebih manis daripada pihak lain.

Ini juga virus yang sukar di rawat kerana segolongan mereka ini di lihat tak ubah seperti broker angin yang cuma berpindah ke parti baru daripada parti asal mereka, umno.

Masalah keempat ialah kemungkinan ada usaha dari dalam oleh penyokong Presiden Parti Pribumi Bersatu dan penyokong Pengerusi Parti Pribumi Bersatu untuk berebut jawatan di setiap negeri negeri dalam negara kita dan ini akan mengakibatkan perpecahan di kalangan penyokong sekalipun kedua dua pimpinan utama iaitu Pengerusi dan Presiden Parti Pribumi Bersatu di lihat boleh bertolak ansur.
Masalah kelima datangnya daripada luar iaitu tekanan hebat daripada parti pemerintah untuk mungkin menamatkan sumber kewangan saf saf pimpinan Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu bertujuan mungkin untuk melemahkan kemampuan kewangan sebelum Pilihanraya ke 14.

Masalah keenam datangnya daripada SPR yang memindah pengundi dengan cara yang tidak munasabah dengan menjadikan setiap kawasan berasaskan kaum mahupun pemindahan anggota pasokan keselamatan dengan begitu banyak kepada sesuatu kawasan.

Masalah ketujuh datangnya daripada parti Pas yang telah menjadi tidak lagi di hormati rakyat selepas ketiadaan 3 pimpinan utama iaitu Al Marhum Dato Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat, Al Marhum Dato Seri Uztaz Azizan Razak serta Al Marhum Dato Fadzil Noor.

Pimpinan Pas sekarang lebih dilihat ingin membantu melindungi parti Umno yang dari segi sejarahnya parti berkenaan pernah menyebabkan ada pemimpin mereka terbunuh termasuklah ketika musim pilihanraya.

Blok ketiga yang di wujudkan PAS bersama parti yang tiada kerusi amat kabur status sebenarnya.

Manakala saman hari selasa pimpinan umno telah lebih setahun tiada tindakan saman fitnah langsung terhadap WSJ kini di khuatiri seolah olah akan di ulangi oleh Pas kerana dilaporkan ingin menyaman pihak Sarawak Report di London.

Tindak tanduk pimpinan baru PAS yang mahu sambung bermusuhan dengan DAP seperti yang ditegaskan oleh Mursyidul Am PAS yang baru, cuma memberi faedah kepada umno, agaknya mereka sudah lupa pesanan Al Marhum Tok Guru Nik Aziz supaya jangan di patuk binatang berbisa dalam lubang yang sama dua kali.

Tindakan tindakan serta pelbagai kenyataan pimpinan Pas ada masanya memang mahukan PAS tewas samada semasa PRU 13 di Terengganu ataupun pilihanraya negeri Sarawak 2016 baru baru ini.

Benar , Iman tidak boleh di warisi justru ianya tidak memeranjatkan jika ada anak dari kalangan keturunan ulama terbilang membuat pelbagai kenyataan yang di percayai berbohong kepada rakyat jauh berbeza dengan pendirian asal Al Marhum ayahanda sendiri.

Seterusnya segolongan pimpinan Pas sekarang mungkin mengguna pakai apa apa Qawaid Fiqhiyyah atau Islamic Legal Maxims bagi menyokong apa apa tindakan mereka seolah olah ia dapat mengubah satu tindakan yang umum lihat salah serta merugikan sebagai betul.

Masalah kelapan ialah, segala kecurangan berbukti termasuk bukti video yang melibatkan SPR ketika PRU 13 masih belum ada penutup yang memuaskan sehingga kini sekalipun sudah ada perbicaraan umum di adakan oleh pihak Bersih menerusi Tribunal Rakyat bagi mengadili apa yang berlaku.

Masalah kesembilan ialah kewujudan kumpulan kumpulan samseng sharif kampong dusun yang cuma memainkan isu perkauman yang patut di ambil tindakan serta merta oleh pihak berkuasa. Mereka ini boleh membahayakan keselamatan negara dengan pelbagai tindakan kasar serta ugutan jenayah.

Masalah ke sepuluh ialah rakyat kita terlampau baik, tidak punyai kemahuan langsung untuk bertegas mempertahankan hak masing masing.Biarlah segala harta negara di rompak sehingga licin asalkan masih kerja masih dapat gaji masih dapat Brim, biarlah.

Masalah ke sebelas, mufti yang memilih memilih untuk mengeluarkan pandangan yang diterima rakyat sebagai Fatwa. Segala isu yang mungkin menjejaskan periuk nasi Mufti, mereka akan memilih untuk membisu seperti lembu kenyang.

Mereka cuma mahu bersuara bila ada isu remeh temeh seperti Pokemon. Mungkin Sultan Sultan negeri masing masing patut memikirkan tindakan drastik yang sesuai terhadap Mufti mufti yang begitu.

Masalah kedua belas, kegagalan khutbah jumaat menyedarkan umat Islam tentang isu isu penting yang memerlukan tindak balas segera rakyat melainkan cuma berterusan mengantukkan rakyat dengan bacaan Khutbah yang berbentuk siaran ulangan topik yang sedia di ketahui rakyat.

Akhir sekali rakyat masih meletakkan harapan kepada Majlis Raja Raja untuk membantu apa yang termampu untuk memperbetulkan keadaan negara memandangkan Majlis Raja Raja yang berkuasa memilih Yang Di Pertuan Agong dan Timbalan Yang Di Pertuan Agong.

Sembah takzim dan tahniah kepada Yang Di Pertuan Agong yang baru, Al Sultan Kelantan serta Timbalan Yang Di Pertuan Agong yang baru, Tuanku Sultan Perak.

Sesuai dengan ketinggian ilmu kedua dua baginda Sultan Kelantan dan Sultan Perak, InshaaAllah rakyat mengharapkan belas ikhsan baginda berdua untuk menyelamatkan negara dengan sekadar termampu, daripada segala kerosakan.

Perlembagaan Persekutuan telah dengan jelas meletakkan Yang Di Pertuan Agong sebagai pemerintah tertinggi angkatan tentera. Ini juga telah di sahkan dengan jelas berkali kali dalam pelbagai provisi dalam Akta Angkatan Tentera 1972.

Manakala pada tahun 1958, Yang Di Pertuan Agong ketika itu turut berkenan menganugerahkan gelaran Di Raja pada pasokan polis menjadi Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

InshaaAllah di tahun 1438 Hijrah tahun baru dalam taqween Islam, rakyat mendoakan keadaan dapat di pulih dengan kerjasama semua pihak kecuali golongan penjenayah yang patut segera di siasat dan di dakwa tanpa mengira jawatan mereka yang masih berkuasa. Wallahualam.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...