TERKINI :

Wednesday, October 26, 2016

Pertemuan isu RUU355 - Mendamaikan bukan mengusutkan, susah-susah sangat ayuh kita wacana terbuka...

MENDAMAIKAN BUKAN MENGUSUTKAN.


Aku nak jelaskan untuk kesekian kalinya dan aku amat mengharapkan isu ini ditutup dan dianggap selesai selepas ini. Banyak lagi perkara lain yang kita perlu dan patut utamakan untuk dibahaskan dan dibincangkan. Sekiranya penjelasan aku ini tidak mencukupi dan tidak dapat diterima, aku mohon, jom kita berjumpa dan berwacana di tempat terbuka di khalayak awam agar semua pihak dapat melihat, mendengar dan memahami isu sebenar.

Semalam aku menulis menjelaskan tentang pertemuan tertutup antara kami (Dr Rozaimi Ramle, Dr Juanda Jaya, Ust Wanji Wanhussin Wanji, Ust Shahir Arifin, Ust Abu Hafiz, Sdr Ilham, Ust Khairil dan aku) dengan pihak pimpinan PAS yang diwakili oleh Dato' Takiyuddin Hassan, YB Nasruddin Hassan, YB Khairuddin Aman Razali dan Wan Rohimi) di Hotel Seri Pasifik Kuala Lumpur.

Tulisan aku semalam mudah dan ringkas bahawa tujuan utama pertemuan tersebut ialah untuk menjernihkan keadaan di mana di peringkat bawahan sedang menular budaya mengkafirkan, memunafikkan, menyesatkan sesiapa yang tidak menyokong usul YB Marang untuk meminda Akta 355. Itulah tujuan utamanya.

Rujukan kepada tulisan Sdr Wan Rohimi, Pengarah Juham yang sama berada di dalam pertemuan itu khasnya di para 4 adalah jelas seperti berikut :

"Segalanya dijelaskan dengan baik dan terang oleh YB Dato' Takiyudin selaku Setiausaha Agung PAS dan YB Datuk Dr Khairudin At Takiri mengenai isu RUU355. Beliau menjawab dgn tegas bahawa pendirian PAS yang sentiasa diulang-ulang bahawa PAS tidak menghukum, tetapi menerangkan hukum. PAS tidak pernah mengkafirkan sesiapa bahkan bersedia mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli atau pimpinan yg mengkafirkan muslim yang lain."

PAS tidak pernah mengkafirkan sesiapa yang tidak bersetuju dengan usul Marang dan kami juga mengesahkan bahawa bukan PAS yang mengkafirkan tetapi pimpinan peringkat bawahan, ahli-ahli dan penyokong di bawah sedang mengkafirkan sesama sendiri dek kerana tidak bersetuju dengan usul Marang. Justeru dalam pertemuan itu disahkan PAS tidak pernah mengkafirkan dan disahkan usul Marang tiada kena mengena dengan hudud atau hukum Allah.

Menolak atau tidak bersetuju dengan usul Marang adalah ijtihad masing-masing yang tidak merosakkan aqidah yang menjadi kafir. Kami mohon jasa baik Setiausaha Agung Pas dan juga Ketua Penerangan Pas serta Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas agar mengeluarkan suatu kenyataan rasmi bahawa usul Marang bukan hukum Allah yang wajib disokong malah tidak menyokong tidak menjatuhkan aqidah. Secara dasarnya dipersetujui. Kami masih menunggu kenyataan rasmi dari Setiausaha Agung PAS.

Bagi kami itulah tujuan UTAMA pertemuan. Untuk menyelesaikan dan mendamaikan masyarakat yang sedang keliru kerana ada pihak mengatakan usul Marang itu hudud, usul Marang itu wajib disokong tanpa belah bahagi. Kesimpulan yang kami perolehi ianya mendamaikan.

Sebab itu, aku, Ust Wanji dan Dr Rozaimi mengeluarkan kesimpulan bahawa pertemuan itu mesra dan mendamaikan. Kita tidak mahu mendedahkan apa yang dibincangkan yang lainnya kerana ianya hanya bersifat perbezaan pendapat.

Menyokong atau tidak usul Marang adalah ijtihad masing-masing. Dr Rozaimi tidak sokong ada hujah, alasan dan ijtihadnya. PAS meminta disokong ada hujah, alasan dan ijtihad mereka. Perbezaan itu wajar diraikan. Tidak timbul siapa menang hujah, siapa terdiam, siapa menang siapa kalah kerana perbezaan pendapat itu rahmat.

Aku tidak faham kenapa dikeluarkan suatu kenyataan Dr Rozaimi terdiam, terkesima itu dan ini kerana kami semua memberikan hujah masing-masing. Mendiamkan diri atas sesuatu hujah bukan bermakna kami kalah atau mereka kalah tetapi perlu difahami bahawa pertemuan itu singkat, Janji pukul 4 tetapi hadir pukul 5. Habis pukul 6:30 lebih kurang. Dalam waktu sejam setengah itu tak akan mampu berhujah sepenuhnya. Jadi berhenti dan tidak memanjangkan hujah atas faktor masa terhad.

Jika nak berhujah lebih panjang, berbahas sampai lebam, jom kita berwacana secara terbuka di mana saja hatta di markas PAS sekali pun kami insyaAllah akan hadir. Aku sudah beberapa kali mengajak pimpinan Pas kawasan Sik contohnya untuk berwacana tetapi tidak diambil pusing. Hujung bulan ini pada 28, 29 & 30 Oktober juga dicadangkan wacana antara aku, sahabat aku Faiz dan YB Nik Abduh di Perlis. Jom... sahut pelawaan kami untuk berwacana untuk ketahui isu sebenar. Jangan di depan lain di belakang lain.

Kita nak mendamaikan yang kusut. Jauhi pertelingkahan perkara cabang sehingga kafir mengkafir. Pertemuan semalam berjaya membuktikan usul Marang bukan hudud bukan hukum Allah. Itu perkara pokok.

TIDAK KAFIR MENOLAK USUL MARANG.
TIDAK KAFIR TIDAK MENYOKONG USUL MARANG.

ZULHAZMI SHARIFF
Ahli Biasa DAP
Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur
26 Oktober 2016

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...