TERKINI :

Tuesday, October 11, 2016

Pengerusi BERSIH 5 buat laporan polis ke-8 terhadap kenyatan 13 Mei ‘Dato Jamal Yunos’

PETALING JAYA: Bersih 2.0 menggesa polis menyiasat individu di sebalik kenyataan ‘Dato Jamal Yunos’ yang mengancam melakukan rusuhan berdarah sekiranya himpunan aman Bersih 5 diadakan.

Pengerusinya Maria Chin Abdullah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya petang tadi. Beliau yang pernah diancam keselamatannya diiringi 11 individu lain.

“Kenyataan itu secara jelas telah memberi kata putus supaya perang dapat dimulakan. Ia bukan sahaja memberikan kesan buat Bersih tetapi juga pada negara,” katanya sewaktu ditemui pemberita.

Himpunan Bersih 5 dijadualkan pada 19 November depan bagi mendesak reformasi institusi dan peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bersih 2.0 turut mengadakan konvoi jelajah negara menuju acara kemuncak itu bagi menarik sokongan orang ramai. Gerakan Baju Merah bagaimanapun mendakwa gabungan badan bukan kerajaan itu diresapi IS, dan konvoi Bersih dikasari di beberapa lokasi.

Pada Ahad lalu, tangkap layar menyerupai Facebook ‘Dato Jamal Yunos’ yang mengancam perang saudara mulai tersebar di media sosial.

Bertarikh 21 September jam 8.10 malam, status itu berbunyi: “Saya berjanji tragedi 13 Mei akan berulang dan parang terbang akan terjadi jika Bersih 5 dibuat pada masa, tarikh dan tempat yang sama dengan perhimpunan #Bersih5 yang dijadualkan pada 19 Nov ini. Hidup Melayu!”

Susulan itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan tindakan tegas dengan segera kerana “kenyataan menghasut sebegini tidak boleh diterima”.

“Kita tidak tahu siapa dia (pelaku kenyataan itu) dan kalau bukan Jamal, baguslah. Tetapi kalau dia (Jamal), polis perlu ambil tindakan,” kata Maria.

Jamal, yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, menafikan kenyataan itu miliknya. DAP, yang dituduh Jamal sebagai dalang disebalik kenyataan itu, turut menafikan.

“Ada 7 laporan yang telah dibuat, iaitu di Johor Bharu, Kluang, Kota Kinabalu, Kuantan, Brickfield dan Kelantan. Laporan polis yang kita lakukan ini laporan polis yang ke-8,” kata Maria.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...