TERKINI :

Tuesday, October 18, 2016

Pengemis mampu raih RM11,000 sebulan

Mampu raih RM11,000 sebulan


ALOR SETAR - Siapa sangka, dalam masa sebulan seorang pengemis wanita mampu memperoleh pendapatan lumayan mencecah sehingga RM11,000.

Bermodalkan lakonan air mata, wanita berusia 50 tahun ini mengaku memperoleh hasil lebih RM150 dalam tempoh dua tiga jam dengan duduk menadah tangan kepada orang ramai.

Lebih mengejutkan, wanita berkenaan sanggup menyamar sebagai orang Islam dengan memakai tudung berwarna hitam demi meraih simpati umum.

"Kalau tak pakai tudung, susah orang nak bagi duit. Kalau pakai tudung, banyak dapat," katanya ketika diselamatkan di Pasar Karat Kampung Berjaya, di sini.

Ketika disoal, ada ketika wanita berkenaan dilihat mengunci mulut ataupun menjawab sepatah-sepatah, selain menganggukkan kepala tanda faham.

http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.573451!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_700/image.jpgDifahamkan, wanita itu berasal dari Kemboja dan tidak memiliki sebarang dokumen menyewa di sebuah kediaman bersama kenalan di Simpang Empat, di sini.

Bagaimanapun, aktiviti dilakukan terbongkar apabila diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam Operasi Bersepadu Membanteras Pengemisan Daerah Kota Setar kali ketiga sekitar Bandaraya Alor Setar, semalam.

Turut diselamatkan, seorang warga emas dikenali sebagai Mat mendakwa dia melakukan aktiviti mengemis disebabkan diminta anak lelakinya untuk mencari wang.

Menurutnya, dia berasa agak sedih dan terkilan kerana anak tunggalnya tidak menunaikan janji menjaga dia dengan baik apabila menyuruh dia mengutip wang sedemikian.

“Pak cik sememangnya ada terfikir berhenti mengemis dan masuk ke rumah orang-orang tua, namun masih menaruh harapan anak menunaikan janjinya,” katanya.

Tujuh pengemis diselamatkan

http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.573452!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_700/image.jpgSementara itu, Pegawai JKM Daerah Kota Setar, Syahrul Nasir Mat Rais berkata, tujuh pengemis termasuklah tiga warga asing diselamatkan dalam operasi di beberapa lokasi, termasuklah Pasar Karat Kampung Berjaya.

Menurutnya, pelbagai taktik digunakan bagi meraih simpati masyarakat yang sememangnya pemurah, misalnya memakai tudung meskipun bukan Muslim.

"Kami berdepan cabaran untuk menyelamatkan pengemis, apabila sebilangan orang awam tidak memahami tugas dilaksanakan malah menyalahkan JKM," katanya.

Syahrul berkata, operasi dijalankan bagi memberi kesedaran kepada orang awam mengenai kegiatan mengemis, sekali gus memastikan bilangan penagih berkurangan.

“Orang awam perlu bijak membantu elak tertipu, sekali gus tidak memberi wang kepada pengemis sewenang-wenangnya.

"Malah, pastikan individu atau pertubuhan meminta derma dengan kebenaran,” katanya.

Terdahulu, operasi bersepadu selama empat jam disertai kira-kira 30 orang termasuklah JKM, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula jam 9 pagi hingga 1 petang.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...