TERKINI :

Thursday, October 13, 2016

PENDAKWAAN DI SWITZERLAND SEHARUSNYA LEBIH MENAKUTKAN NAJIB

Shahbudin Husin,

http://www.arabianknightonline.com/source/news/2015/3/17/Falcon-Private-Bank.jpg
Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) kini dilapor sedang mempertimbangkan untuk memulakan prosiding jenayah terhadap Falcon Private Bank Ltd, susulan tindakan penyekatan oleh agensi kawal selia, Finma atau Pihak Berkuasa Penyeliaan Pasaran Kewangan Switzerland terhadap bank tersebut.

Falcon Bank telah diarahkan oleh Finma untuk menyerahkan kepada agensi kawal selia itu wang sejumlah RM10.55 juta  yang disifatkan sebagai keuntungan haram hasil daripada dana 1MDB.

Bagi tujuan kemungkinan pendakwaan itu, OAG telah meminta Finma untuk menyediakan sesalinan keputusan yang menguatkuasakan sekatan terhadap Falcon Bank itu bagi mereka membuat analisis mengenainya.

Jika OAG turut memulakan prosiding jenayahnya, bermakna sudah tiga negara iaitu Singapura, Amerika Syarikat dan Switzerland telah bertindak berkaitan dana yang berasal daripada 1MDB.

Di Singapura, dua buah bank iaitu Falcon dan BSI AG telah diarah tutup kerana kesalahan berkaitan aktiviti penggubahan wang haram tentang dana 1MDB, manakala di Amerika pula tindakan pembekuan aset dan hartanah yang dipercayai daripada wang syarikat pelaburan itu, turut sudah dimulakan.

Berbanding tindakan pendakwaan yang telah diambil oleh Amerika Syarikat dan  Singapura sebelum ini di mana Najib Razak masih boleh "bersilat"  dan mengatakan ia tidak membabitkan atau tiada kena-mengena dengan dirinya, prosiding jenayah oleh OAG terhadap Falcon Bank ini seharusnya lebih membimbangkan beliau.
 
Ini kerana dalam penyiasatan yang dijalankan oleh Finma terhadap Falcon Bank selama ini, ia bukan saja berkaitan dana daripada 1MDB sebanyak RM15,200 juta yang disalurkan melalui bank itu, tetapi juga berkaitan wang sebanyak RM2,600 juta yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib serta RM2,030 juta yang kemudian dikembalikan.

Semua urusniaga itu dilakukan melalui Falcon Bank yang merupakan milik IPIC. Sebagaimana yang diketahui umum, IPIC turut mempunyai urusniaga dengan 1MDB berkaitan pengeluaran bon.

Najib berkali-kali mengatakan wang yang diterimanya adalah derma daripada anak Raja Arab dan ia juga dipulangkan kepada orang yang sama kerana tidak habis digunakan.

Dalam kertas pendakwaan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pula, jelas disebut wang berkenaan yang dimasukkan ke akaun peribadi Malaysian Official 1 adalah berpunca daripada 1MDB. Tidak disebut sama sekali wang tersebut berpunca daripada anak Raja Arab atau Timur Tengah.

Menteri UMNO, Abdul Rahman Dahlan kemudian mengesahkan MO1 adalah Najib serta menempelak dengan mengatakan hanya orang bodoh saja yang tidak mengenali siapa MO1 yang sebenar sebagaimana yang disebut oleh Jabatan Kehakiman Amerika itu.

Sehingga ini, Finma tidak memberikan butiran lengkap mengenai pemindahan wang melalui Falcon Bank ke dalam akaun Najib itu.

Namun, segala-galanya mungkin terbongkar apabila OAG memulakan prosiding jenayah terhadap Falcon Bank, terutama tentang penderma sebenar yang begitu murah hati kepada Najib itu.

Apakah benar wang tersebut berpunca daripada anak Raja Arab dan kemudian dikembalikan semula sebahagian besarnya kepada anak Raja Arab yang sama juga?

Bagaimana jika butiran yang ada di Switzerland  nanti menunjukkan wang itu tiada kaitan langsung dengan mana-mana Pak Arab, sebaliknya daripada individu yang ada kaitan dengan 1MDB?

Atau bagaimana jika bukti yang ada menunjukkan wang itu diterima daripada orang lain dan  dikembalikan kepada penama yang lain, bukan penderma yang asal?

Mungkinkah dalam prosiding jenayah terhadap Falcon Bank itu nanti, Najib turut dipanggil untuk memberi keterangan?

Bolehkah beliau "bersilat"  lagi?

Maka, khabar prosiding jenayah oleh OAG itu mahu tidak mahu, adalah satu lagi berita yang menakutkan buat Najib. (SH 12/10/2016).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...