TERKINI :

Thursday, October 27, 2016

Pemimpin kuku besi hancurkan negara, kata Mujahid

 http://s3media.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2016/07/mujahid-rawa.jpg
Sesebuah negara akan menuju kehancuran apabila pemimpin bertindak secara kuku besi terhadap pihak yang membongkar penindasan dan rasuah, tegas Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (Amanah-Parit Buntar).

"Suasana manusia yang mahukan sebuah negara yang dapat memberikan kepadanya rasa belas dan rahmat serta bebas adalah idaman seluruh warganegara.

"Namun ada juga pemimpin negara yang merasakan dirinya mula terancam apabila teguran kepada kefasadan (kerosakan) politik seperti rasuah dan penindasan disambut dengan tindakan ala kuku besi bertopengkan undang-undang dan kuasa yang ada. Saat itu sesebuah negara akan menuju kehancuran," ujarnya dalam perbahasan Bajet 2017 semalam.

Beliau berkata, skandal kewangan syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menanggung kadar hutang terlalu besar dan terkait dengan Perdana Menteri masih belum disiasat.

"Perkara asas menuntut jawapan seperti skandal 1MDB, jumlah besar wang RM 2.6 bilion dalam akaun Perdana Menteri dan lain-lain dibalas dengan pelbagai helah yang tidak menjawab hatta perkara asas seperti menyiasat dan membawa ke pihak pengadilan mereka yang terlibat.

"Malah, bertanyakan soalan ini satu kesalahan sehingga ada yang dipecat dari jawatannya kerana soalan yang menggamit kepentingan negara dan maruah negara," tegasnya.

Mengulas tentang kecenderungan langkah kerajaan memajukan apa yang didakwa bagi kepentingan ekonomi Melayu, beliau berkata, keberkesanan pelbagai polisi berkenaan perlu diteliti semula.

"Apakah dasar-dasar ini telah gagal sehingga ia terpaksa diteruskan dalam format affirmatif dan Melayu-centric?

"Apakah masalah hubungan antara kaum yang menjadi asas penstruktran semula masyarakat dapat diselesaikan?

"Adakah sasaran kepada orang Melayu tercapai dengan mereka mampu bersaing tanpa dasar affirmatif?" soalnya.

Hal ini memandangkan, jelasnya, lahir istilah ketuanan Melayu selepas Dasar Ekonomi Baru (DEB) serta masih berleluasanya kelompok rasis masih mempertikaikan kaum lain atas asas bukan asal di Malaysia.

"Amalan perlindungan politik, akses dan ugutan bahaya 'bangsa lain' masih lagi berlegar dalam kelompok Melayu, diwajarkan persempadanan semula atas kaum dan momokan DAP anti Melayu dan golongan tertentu liberal dan sebagainya," ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau berkata, belanjawan yang dikemukakan harus melihat stuktur baharu masyarakat dan perkembangan semasa di luar kawalan yang melahirkan pemikiran baharu dalam rakyat menilai segala tindak-tanduk kepimpinan politik negara.

Menurut Dr Mujahid yang juga Naib Presiden Amanah, sistem ekonomi hari ini yang telah melahirkan keseluruhan bajet negara sejak merdeka tidak lagi relevan kerana jurang ketara ekonomi antara kaum dan sesama kaum masih gagal ditangani.

"Tidak ada satu penilaian dan 'assessment' rasmi kesan kepada dasar affirmatif yang telah berlangsung sekian lama khususnya dalam melahirkan jurang ketidaksamaan antara kaum dan intra kaum.

"Tanpa disedari di kalangan Melayu berlaku jurang ketaksamaan yang tinggi iaitu 9.2 kali ganda antara 20 peratus teratas dengan 20 peratus terbawah mengikut MAPEN II 2001," jelasnya.

Walau bagaimanapun, beliau berpendapat banyak pihak masih belum sedar masalah sebenar dihadapi Melayu terutama dalam konteks kemajuan dan penguasaan ekonomi negara.

"Malangnya isu Melayu tidak dibawa dalam nada keperluan semasa apabila ada yang masih mengekalkan retorik Melayu bernuansakan rasis, beredarnya doktrin Melayu-Islam yang dogmatik.

"Malah kerajaan di bawah Umno pada masa negara ini memerlukan satu loncatan besar ke hadapan masih dalam nada perpaduan Melayu dan Islam yang pada hakikatnya hanyalah retorik politik.

"Mereka tidak mendasari isu Melayu yang rasuah, kepimpinan politik Melayu yang dogmatik, menghukum orang berbeza pandangan dengannya serta mengheret negara daripada menumpukan keutamaan menyelamatkan negara kepada isu yang bukan keutamaan," tegasnya.

Sehubungan itu, Dr Mujahid menyifatkan Bajet 2017 perlu terbina atas Asas Ekonomi Era Baru melalui kefahaman Maqasid Syariah iaitu kembali menjadi manusiawi dalam perancangan dan cara berfikir.

"Asas ekonomi melihat kepada keperluan universal dan manusiawi sekaligus mengubah kerangka 'ethno-centric' yang selama ini menentukan dasar-dasar ekonomi negara," ujarnya.

Selanjutnya, beliau mencadangkan Bajet Pakatan Harapan yang menyentuh soal agihan gaji dan pembangunan antara wilayah yang lebih adil serta tadbir urus yang telus.

"Pekerjaan dan gaji melalui hak dan peluang sama rata, gaji minima RM1,500 dan kurang kebergantungan kepada pekerja asing melalui kaedah levi 10 peratus setiap tahun.

"Tadbir urus melalui ketelusan pentadbiran dan akaun negara serta mewujudkan sistem pengurusan rasuah piawaian BS 10500 dan ISO 37001," ujar Dr Mujahid lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...