TERKINI :

Wednesday, October 26, 2016

Pas tak pernah kata tak sokong RUU Akta 355 jadi kafir


Datuk Takiyuddin HassanPas tidak pernah mengkafirkan sesiapa yang membantah rang undang-undang (RUU) 355 Akta Mahkamah Syariah yang dibentangkan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat, Mei lalu.

Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan berkata, RUU itu hanya sekadar usul dan ahli Parlimen berhak menyokong atau membantahnya.

“Pas tidak terlibat dalam label melabel. Kalau orang Pas yang melabel, itu kenyataan peribadi dan tidak mewakili Pas.

“Pas memang tidak pernah bersetuju dan tidak akan bersekongkol dengan pihak yang suka melabelkan macam-macam,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.

Takiyuddin berkata demikian sebagai mengulas mengenai pertemuan pimpinan parti itu bersama Pensyarah Jabatan Pengajian Islam Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Muhamad Rozaimi Ramle.

Pertemuan itu turut dihadiri peguam yang juga ahli DAP Pahang Zulhazmi Shariff, bekas mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya dan Ketua Biro Agama Pemuda PKR Wan Ji Wan Hussin.

Takiyuddin bagaimanapun enggan mendedahkan bila pertemuan itu berlangsung, sebaliknya hanya berkata ia diadakan di ibu kota.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu juga berkata, pertemuan itu dilakukan bagi mendapatkan penjelasan mengenai tuduhan terhadap Pas yang dilakukan netizen di laman sosial.

“Perjumpaan ini tidak tertutup, memang terbuka. Ia dilakukan pengguna Facebook, tetapi saya bukan seorang pengguna laman sosial itu, jadi saya tidak tahu apa berlaku.

“Kita tidak pernah kata, kalau tolak adalah kafir. Ini proses demokrasi, siapa yang nak sokong, sokong. Yang tidak mahu sokong, tidak perlu sokong,” katanya.

RUU 355 antara lain ingin memasukkan seksyen baharu iaitu Seksyen 2A yang menyebut:“Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan undang-undang syariah berkaitan hal kesalahan disenaraikan di bawah seksyen disebutkan di atas selain hukuman mati”.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...