TERKINI :

Sunday, October 16, 2016

Muhyiddin - Najib hipokrit bilamana kata Anwar & Tun M punca hubungan kaum semakin buruk

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA

Kenyataan Najib Razak yang mengaitkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai punca keadaan hubungan kaum yang kononnya semakin buruk di Malaysia adalah suatu tuduhan liar yang tidak berasas sama sekali dan amat hipokrit.

Tidakkah Najib sedar bahawa hubungan kaum di negara ini yang kelihatan semakin tegang dan berada di paras paling rendah pada waktu ini adalah disebabkan oleh sokongan tersirat beliau terhadap gerakan rasis dan biadap kumpulan Baju Merah yang diketuai oleh Jamal Yunos, yang juga merupakan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar. Bahkan, Jamal sendiri telah membuat pengakuan kepada pihak media bahawa sebahagian besar ahli kumpulan Baju Merah adalah ahli-ahli Umno.

Dalam banyak pertembungan kumpulan Baju Merah dengan penyokong Bersih, iaitu sebuah organisasi pelbagai kaum yang memperjuangkan reformasi sistem pilihanraya di Malaysia, kumpulan Baju Merah telah menggunakan pendekatan yang rasis lagi agresif semata-mata untuk menarik perhatian orang ramai terhadap kehadiran mereka. Tindakan ganas kumpulan ini yang mendakwa kononnya merekalah yang mempertahankan hak-hak orang Melayu langsung tidak mencerminkan adab, tatasusila dan budaya bangsa Melayu.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia menghormati Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan asas hubungan kaum yang baik sebagai tunjang fabrik sosial negara ini. Kami menyelar naratif Barisan Nasional bahawa rakyat perlu memilih antara sebuah kerajaan BN yang dipimpin oleh UMNO atau kerajaan pembangkang yang dipimpin oleh DAP, yang rersirat di dalamnya satu konotasi perkauman yang amat memualkan.

Ini adalah satu rancangan jahat BN untuk menyerang parti pembangkang dan memecah belahkan perpaduan kaum di negara ini, sekaligus membuktikan bahawa Najib Razak dan konco-konconya terus menggunakan sentimen kaum untuk kekal berkuasa.

Dakwaan Najib bahawa masyarakat Melayu berpecah disebabkan tindak-tanduk Dr Mahathir dan Anwar adalah tidak lebih daripada cerita karut politik untuk menimbulkan rasa takut di dalam hati dan minda orang Melayu untuk mengundi parti selain daripada Umno yang terbukti telah rosak tanpa boleh diperbaiki lagi.

Kami menentang Najib Razak kerana wang berjumlah berbilion ringgit telah terbukti dimasukkan ke dalam akaun pribadi beliau. Kami menentang Najib Razak kerana dia telah mencemarkan nama baik Malaysia di mata dunia lantaran penglibatannya dalam skandal 1MDB, sebuah syarikat yang sarat dengan rasuah. Kami menentang Najib Razak kerana malapetaka kepimpinannya telah menjejaskan keutuhan ekonomi negara.

Kami menentang Najib Razak kerana dia membiarkan pertubuhan rasis seperti kumpulan Baju Merah bermaharajalela sebagai satu cara untuk dia kekal berkuasa. Saya ingin menyatakan di sini bahawa sehingga hari ini, Najib Razak tidak permah mengecam kumpulan Baju Merah.

Jika Najib Razak benar-benar prihatin tentang masalah hubungan kaum di Malaysia, dia sepatutnya telah mengarahkan Jamal Yunos dan kumpulan Baju Merah berhenti daripada membuat provokasi dan serangan terhadap peserta jelajah Bersih yang rata-rata komited untuk melihat perubahan sistem pilihanraya yang lebih telus dan adil di Malaysia.

Jangan pula komen-komen negatif Najib Razak terhadap Tun Dr Mahathir dan Anwar sekadar satu helah politik untuk menguatkuasakan Akta Majlis Keselamatan Negara yang bertujuan semata- mata untuk mendiamkan pengkritik.

Rakyat tahu dan sedar siapa sebenarnya yang sedang berpaut pada dahan politik perkauman yang rapuh semata-mata untuk kekal berkuasa. Najib Razak, rakyat sedang memerhati gerak-geri anda dan masa anda sebenarnya semakin suntuk.

TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Presiden
Parti Pribumi Bersatu Malaysia

16 Oktober 2016

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...