TERKINI :

Saturday, October 1, 2016

MENYINGKIRKAN NAJIB SEBELUM PRU 14 TIDAK SEHARUSNYA DIBANGKITKAN LAGI


Sehari dua ini timbul kembali isu berkaitan penyingkiran Perdana Menteri sebelum PRU 14 dan kuasa Yang Dipertuan Agong berkaitan perkara tersebut.

Ia bermula apabila seorang peguam yang rapat dengan Tun Mahathir Mohamad, Hanif Khatri Abdulla dalam sebuah forum nenyatakan bahawa Agong mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Beliau menyimpulkan bahawa sebagaimana Agong mempunyai kuasa untuk melantik, baginda juga berhak untuk memecat Perdana Menteri.

Hujah beliau bagaimanapun disanggah oleh Nazri Aziz yang mengatakan Agong tidak ada hak untuk memecat kerana pemecatan Perdana Menteri hanya boleh dilakukan oleh Parlimen.

Katanya, negara kita adalah sebuah negaa yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan.

Bekas Peguam Negara, Abu Talib Othman juga sependapat dengan Nazri yang menyebut bahawa hanya Parlimen dan kehilangan majoriti di Dewan Rakyat saja yang boleh membuatkan Najib tersingkir daripada jawatannya.

Mengapa ditimbulkan kembali isu penyingkiran Najib melalui kuasa Agong sebelum PRU 14 ini?

Bukankah sekarang ini semua kumpulan penentang Najib sudah meninggalkan UMNO dan menubuhkan parti politik baru iaitu PPBM?

Untuk ada ditubuhkan PPBM jika berterusan bercakap mengenai penyingkiran Najib melalui kuasa Agong?

Tidakkah Najib sendiri sudah berulangkali menyatakan bahawa beliau tidak sesekali akan berundur dan sedia menghadapi pencabarnya dalam pilihanraya?

Tidakkah juga dengan sudah menubuhkan PPBM dah menjalin kerjasama dengan parti-parti pembangkang, matlamat utama sekarang sudah berubah kepada menyingkirkan Najib dengan cara mengalahkan UMNO dan BN dalam pilihanraya?

Oleh itu, sedarlah bahawa hanya membuang masa dan menghabiskan air liur saja bercakap lagi mengenai kuasa Agong dan penyingkiran Najib melalui kuasa selain pilihanraya.

Dengan sudah menubuhkan parti baru dan menjalin kerjasama dengan parti-parti pembangkang, malah Tun Mahathir juga sudah banyak kali bercakap mengenai usaha mengalahkan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang, isu penyingkiran Najib sebelum PRU 14 tidak seharusnya dibangkitkan lagi.

Apa yang perlu dilakukan ialah memperkemas jentera parti, memperkukuh kerjasama dengan parti-parti lain dan berterusan meyakinkan rakyat bahawa perubahan kerajaan adalah pilihan terbaik buat kesejahteraan mereka.

Lupakanlah terus cakap-cakap untuk menyingkirkan Najib melalui kuasa Agong atau sebelum PRU 14 ini, sebaliknya usaha serta kekuatan haruslah ditumpukan untuk menjelmakan kekustan baru ke arah perubahan serta reformasi menyeluruh dalam negara. (SH 30/09/2016).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...