TERKINI :

Saturday, October 15, 2016

Meninggal dunia ketika tunggu giliran terima bantuan

Al-Fatihah

KUALA NERANG - Seorang warga emas meninggal dunia ketika sedang menunggu giliran untuk menerima sumbangan anjuran Pertubuhan Sentuhan Kasih al-Qalam yang diadakan di Kampung Borakhas, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi, Salleh Saad, 71, yang berasal dari Jalan Sungai Korok, Bukit Tembaga, dikatakan sedang menunggu giliran untuk menerima bantuan berbentuk makanan dan wang sebelum rebah dipercayai akibat penyakit jantung yang dihidapnya sejak 10 tahun lalu.     

Mohd Hafiz Jamil, 29, jurukamera sebuah syarikat televisyen, berkata ketika kejadian, dia sedang merakamkan visual program sebelum secara tiba-tiba mangsa rebah sehingga terkena bahagian belakangnya lalu jatuh.

"Saya cuba memberi bantuan dengan membantu mengangkat mangsa sebelum meminta bantuan daripada pengamal perubatan yang ada di situ," katanya.

Pegawai perubatan dari Hospital Kuala Nerang yang tiba 15 minit kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

"Semasa bantuan pernafasan diberi, mangsa sudah tidak sedarkan diri dan mangsa mengalami luka di dahi akibat terjatuh ke lantai," katanya.

Sementara itu, Adun Kuala Nerang Datuk Badrol Hisham Hashim yang hadir merasmikan program tersebut berkata jenazah dibawa ke Hospital Kuala Nerang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Sungai Korok selepas Asar. - Bernama


No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...