TERKINI :

Wednesday, October 19, 2016

MELAYU PERLU UMNO ATAU UMNO PERLU MELAYU?

Masih ada yang bertanya, apa jadi kepada Melayu jika UMNO kalah pilihanraya dan hilang kuasa?

Masihkah orang Melayu terbela? tanya mereka lagi.

Apabila ditanya kembali, adakah mereka selama ini cukup dibela walaupun UMNO sudah berkuasa lebih 60 tahun lamanya, ramai antaranya jadi terdiam, malah mula keliru.

Mahu dikata tidak terbela, banyak sekali dasar membela Melayu sambil berdegar-degar mulut pemimpin UMNO yang mengatakan hidup dan perjuangan mereka adalah untuk membela Melayu semata-mata.

Mahu dikata cukup dibela, ramai antaranya kekal tidak punya apa-apa, malah masih mengharap bantuan BR1M jatuh ke riba. Saham bumiputera dan tanah rizab Melayu sudah lama hilang entah ke mana.

Kenapa masih ramai Melayu yang miskin dan jadi golongan peminta-minta sedangkan daripada Raja, yang tinggal di Seri Perdana, menteri, menteri besar, ketua setiausaha, malah boleh dikata hampir semuanya, adalah Melayu-Melayu belaka?

Siapa lagi yang harus kita salahkan, kalau bukan UMNO, sedangkan merekalah yang selama ini diberi mandat untuk membela?

Kalau seorang pengurus  yang diberi kuasa untuk memajukan syarikat, tetapi selama bertahun-tahun masih gagal juga membawa keuntungan kepada syarikat dan pemegang saham, apakah yang harus kita lakukan kepadanya?

Namun, mengapa masih ada yang sayang untuk "memecat" UMNO sebagai pengurus bangsa daripada terus berkuasa sedangkan peluang sudah diberi selama lebih 60 tahun lamanya?

Apakah Melayu mahu terus berharap kepada UMNO untuk tahun-tahun seterusnya?

Rasa sentimental orang-orang Melayu kepada UMNO sebenarnya lebih kepada perjuangan kemerdekaan yang pernah dilakukannya. Ia seperti mengikat mereka untuk kekal bersama UMNO selama-lamanya.

Mengingati dan menghargai  perjuangan UMNO dari segi menuntut kemerdekaan tidak ada salahnya, tapi UMNO juga harus diingati kerana kegagalannya memajukan  bangsa sendiri selepas merdeka, meskipun sudah diberikan kuasa dan mandat yang lama untuk berbuat demikian.

Bukan UMNO tidak mampu memajukan bangsa sendiri, tetapi setiap kali pemimpinnya menjerit "Hidup Melayu", bermakna setiap kali itu jugalah kekayaan negara telah dilencongkan ke poket sendiri atau kroni melalui pelbagai cara, sementara rakyat biasa terus dibiarkan melopong dengan mulut ternganga.

Dengan gagal selama 60 tahun dan melalui UMNO juga, orang Melayu terus berpecah sehingga hari ini, parti itu kini tidak boleh lagi dianggap sebagai mewakili Melayu. Melayu dalam UMNO semakin mengecil sebenarnya.

Banyak parti lain yang kini mahu mengalahkan UMNO juga ada Melayu di dalamnya. Di dalam PKR ada Melayu, dalam Amanah ada Melayu, dalam DAP sudah ramai Melayu, dalam PAS juga Melayu dan dalam PPBM lagilah Melayu.

Dengan yang demikian, jika masih ada Melayu yang masih bimbang dengan nasib Melayu sekiranya UMNO kalah pilihanraya serta hilang kuasa, mereka seharusnya melihat dalam perspektif yang lebih luas dan terbuka. 

Oleh kerana semua parti-parti tersebut ada Melayu di dalamnya dan mereka sedang bergandingan antara satu sama lain, mereka lebih menyeluruh sifatnya. 

Jika dalam BN hanya ada UMNO yang memperjuangkan Melayu, tetapi dalam parti-parti pembangkang yang semua di dalamnya ada Melayu, skop dan ruang lingkup pembelaan kepada Melayu itu menjadi lebih luas lagi. 

Melayu kampung, Melayu bandar, Melayu separa bandar, malah semua kelompok Melayu ada dalam parti-parti selain UMNO sekarang ini. UMNO sebaliknya hanya tinggal mengharap sokongan orang-orang kampung, Felda dan luar bandar saja, itu pun mereka kekal dibiarkan miskin supaya mudah digula-gulakan ketika pilihanraya.

Melayu tidak perlu takut meninggalkan UMNO. Melayu tidak mati tanpa UMNO. Di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan, tidak ada Melayu yang meninggal dunia sejak kalah dan hilangnya kuasa UMNO di negeri-negeri tersebut.

Orang Melayu sebetulnya tidak mati tanpa UMNO, sebaliknya UMNO yang pasti mati tanpa sokongan Melayu. (SH 19/10/2016).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...