TERKINI :

Friday, October 21, 2016

Mahkamah tolak saman terhadap Mohd Rafizi

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman fitnah yang difailkan naib ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun terhadap Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli berhubung isu pembelian hartanah oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Australia.

Hakim S. Nantha Balan dalam penghakimannya berkata tidak syak lagi, defendan (Mohd Rafizi) telah menamakan Khairul Azwan sebagai plaintif, sebagai seorang yang patut tampil ke depan dan memberikan penjelasan berhubung transaksi itu.

"Saya dapati tiada tohmahan yang mencadangkan Khairul Azwan bersalah kerana rasuah atau salah guna kuasa, sebaliknya ia menunjukkan terdapat alasan munasabah untuk siasatan dijalankan.

 "..dan plaintif (Khairul Azwan), yang dari segi politik atau secara komersial berkaitan atau bergabung dengan beberapa individu yang dinamakan dalam kenyataan akhbar, perlu tampil ke depan dan memberikan penjelasan berkaitan transaksi itu," katanya selepas menyampaikan penghakiman setebal 82 halaman.

Nantha Balan berkata, mahkamah mendapati Mohd Rafizi telah melakukan siasatan sendiri selepas dimaklumkan pemberi maklumat dari kalangan Mara atau Umno atau Pemuda Umno.

"Hasilnya, Mohd Rafizi telah mengumpulkan banyak maklumat terperinci dan dokumen mengenai transaksi itu. Ini sudah pasti bukan kes di mana beliau memberikan reaksi yang pantas tanpa berfikir, kata hakim itu sambil menambah Mohd Rafizi begitu teliti dan menjalankan banyak kajian mengenai topik itu sebelum memaklumkan kepada umum dengan mendedahkan mengenai transaksi itu.

Nantha Balan juga berkata, cadangan plaintif bahawa tindakan defendan adalah secara melulu atau acuh tidak acuh kepada kebenaran sama sekali tidak kena pada tempatnya.

Sama ada defendan (Mohd Rafizi) digerakkan oleh niat jahat, hakim berkata tidak ada keraguan lagi bahawa Mohd Rafizi digerakkan oleh tidak lain dan tidak bukan iaitu tanggungjawab yang bersemangatkan awam untuk mendedahkan salah laku melibatkan wang rakyat dan sebagai pemangkin untuk perbincangan awam berhubung perkara ini.

"Jadi penjelasan itu akan datang dan siasatan boleh dijalankan oleh mereka yang sama ada untuk menjelaskan atau menjalankan siasatan," katanya.

Ketika menolak saman itu, mahkamah memerintahkan Khairul Azwan untuk membayar kos RM73,000 kepada Mohd Rafizi.      

Pada 30 Julai 2015, Khairul Azwan memfailkan saman itu dengan mendakwa Mohd Rafizi mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya berhubung pembelian hartanah di Australia.

Khairul Azwan berkata, beliau mengadakan sidang akhbar pada hari yang sama untuk menyangkal kenyataan Mohd Rafizi.

Dalam pernyataan tuntutannya, Khairul Azwan berkata Mohd Rafizi telah mengedarkan dan menerbitkan kenyataan fitnah terhadapnya ketika mengadakan sidang akhbar di pejabat Mohd Rafizi di Pusat Perkembangan Minda, Uni Infiniti pada 6 Julai, 2015.

Khairul Azwan, yang juga Pengarah syarikat Biosis Group Berhad, mendakwa kenyataan Mohd Rafizi, antara lain, mempersoalkan kononnya beliau terbabit dalam urus niaga pembelian hartanah di 746 Swanston Street oleh syarikat milik penuh Mara Inc iaitu Thrushcross Land Holdings Limited yang mengalami ketirisan RM63 juta.

Katanya perkataan fitnah itu disiarkan dalam portal-portal dalam talian dan mungkin diakses pengguna di seluruh dunia.

Beliau mendakwa kata-kata Mohd Rafizi telah mencemarkan reputasinya sebagai seorang ahli perniagaan dan ahli politik.

Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi am dan ganti rugi teruk.

Khairul Azwan diwakili Datuk M. Reza Hassan, manakala Mohd Rafizi, yang menghadiri prosiding mahkamah hari ini diwakili William Leong. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...