TERKINI :

Saturday, October 8, 2016

KULIM - Rahsia di sebalik bangunan kosong terbongkar

Rahsia di sebalik bangunan kosong

KULIM - Aktiviti perjudian berkomputer yang berselindung di sebalik bangunan tidak berpenghuni di Taman Desa Aman, Karangan, di sini akhirnya terbongkar apabila diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Isnin lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 11.10 malam itu, seramai tujuh kaki judi termasuk penjaga premis perjudian itu ditahan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Nashir Ya berkata, bertindak atas maklumat membabitkan kegiatan judi mesin berkomputer, sepasukan polis diketuai Asisten Superintendan Rosli Hanafi telah membuat serbuan di premis berkenaan.

Menurutnya, dalam serbuan tersebut, polis berjaya menahan tujuh suspek berusia 17 hingga 50 tahun yang dipercayai penjaga dan pelanggan yang leka menjalankan aktiviti tersebut.

"Hasil serbuan kita turut merampas pelbagai jenis peralatan yang mempunyai perisian komputer bertujuan untuk melakukan kegiatan berjudi seperti set komputer dan modem.

"Wang tunai lebih RM600 juga turut dirampas dipercayai wang pelanggan yang ingin menyertai aktiviti perjudian di situ," katanya.

Rosli berkata, premis berkenaan juga dipercayai telah membuat sambungan bekalan elektrik secara haram untuk membolehkan perniagaan tersebut berjalan lancar.

"Kita dapati bangunan setingkat jenis teres itu tiada bekalan elektrik kerana meter tidak dipasang di luar premis. Dari luar juga ia kelihatan seperti belum dihuni kerana pintu depan sentiasa tertutup.

"Bagaimanapun apabila serbuan dibuat, mesin-mesin perjudian sedang aktif dimainkan dipercayai menggunakan elektrik curi yang disambungkan secara haram," katanya.

Katanya, taktik ini dipercayai digunakan operator perjudian bagi mengaburi mata pihak berkuasa apabila di bahagian hadapan premis menunjukkan tanda jelas bangunan tersebut belum dihuni.

"Kita tahu ini adalah salah satu taktik untuk mengaburi mata pihak berkuasa, tapi dengan keprihatinan orang awam ia membantu kita untuk terus membanteras jenayah dan judi haram.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mengubahsuai bekalan elektrik secara sambungan haram," katanya.


No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...