TERKINI :

Friday, October 14, 2016

Khutbah seluruh Selangor bidas Syiah ‘menyeleweng’


PETALING JAYA: Khutbah di masjid Selangor hari ini tampil membidas aliran Syiah dengan berkata ia bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Teks khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu turut menolak dakwaan doktrin Syiah masih Islam.

“Kesalahan dan kesesatan ajaran Syiah adalah kerana mereka mempercayai bahawa Imam mereka adalah maksum,” kata khutbah bertajuk “Kebatilan Akidah Syiah” yang dibacakan di masjid Selangor hari ini.

Pendirian itu beberapa hari selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyeru pengikut aliran Syiah dan Sunnah bersatu.

Ia disusuli dengan kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamad semalam yang berkata pengikut Syiah sebahagian daripada Islam.

“Pandangan peribadi saya, dengan apa yang saya belajar di Universiti Al-Azhar dahulu, Syiah termasuk dalam Islam. Walaupun ada mazhab Syiah yang nampak lain, tetapi tak boleh nak kata mereka sesat dan sebagainya,” kata Mahfodz.

Sebelum ini, Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor juga berpendirian penganut aliran Syiah juga merupakan Islam.

Khutbah di Selangor hari ini susulan penangkapan beberapa pengikut Syiah oleh pihak berkuasa agama di Selangor dan Melaka kerana menyertai upacara perkabungan untuk cucu Nabi Muhammad, Hussain, sempena Hari Asyura Ahad lalu.

Dalam khutbah tersebut, Jais menyenaraikan beberapa amalan dan kepercayaan Syiah yang bercanggah dengan aliran Sunnah.

Antaranya, menurut khutbah, ialah hadis diriwayatkan tokoh Syiah yang mencerca sahabat nabi. FMT

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...