TERKINI :

Tuesday, October 18, 2016

Final Piala Malaysia : 30hb October dan Tiket RM50 sekeping

SHAH ALAM: Lokasi dan tarikh perlawanan akhir Piala Malaysia 2016 antara Selangor dan Kedah telah ditetapkan di Stadium Shah Alam pada 30 Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam, keputusan untuk menentukan lokasi dan tarikh perlawanan akhir itu dibuat berdasarkan persetujuan oleh kedua-dua pasukan iaitu Kedah dan Selangor.

"Kedah akan bermain sebagai pasukan tuan rumah manakala Selangor pula sebagai pelawat.

"Tiket-tiket perlawanan akan mula dijual pada 26 Oktober secara serentak di Stadium Shah Alam untuk penyokong Selangor dan di Stadium Darul Aman bagi penyokong Kedah," jelas beliau kepada media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir TM Piala Malaysia pada Isnin.

Menurut Kevin, sebanyak 70,000 keping tiket disediakan bagi perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-90 ini.

"Kedah dan Selangor masing-masing akan menerima 30,000 keping tiket berharga RM50 sekeping dan tambahan 750 tiket kanak-kanak beharga RM5 sekeping untuk setiap pasukan.

"Dan bagi pembelian secara atas talian (online), sebanyak 10,000 tiket disediakan bagi dewasa dan 500 keping untuk kanak-kanak," jelas Kevin.

Dalam pada itu, Ketua Polis Shah Alam, ASP Shafien Mamat memberi amaran kepada penyokong kedua-dua pasukan agar tidak membawa barang-barang yang terlarang ke dalam stadium.

"Pintu stadium akan dibuka seawal pukul 4 petang (pada 30 Oktober) dan saya berharap tidak ada barang-barang atau objek yang boleh mengganggu perlawanan.

"Manakala hanya tujuh peralatan dram dibenarkan dibawa masuk dan peralatan itu akan diperiksa terlebih dahulu.

"Kira-kira 2,000 anggota beruniform termasuk bomba, FRU dan lain-lain bertugas pada perlawanan akhir ini.

"Kami juga akan menyediakan pasukan keselamatan berkuda bagi melancarkan proses pemantauan di sekitar stadium," jelasnya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...