TERKINI :

Sunday, October 9, 2016

ELAUN SARA HIDUP PELAJAR MATRIKULASI masih tertangguh oleh kerajaan NAJIB

BENARLAH ELAUN SARA HIDUP PELAJAR MATRIKULASI DI BAWAH KEMENTERIAN PENDIDIKAN TERTANGGUH.

Bernama pada 8 Oktober 2016 melaporkan bahawa Pengarah Kolej Matrikulasi Labuan (KML) menafikan kira-kira 150 pelajarnya menghadapi masalah untuk makan setiap hari akibat penggantungan elaun pelajar sejak Ogos tahun ini.

Pengarah KML, Sawang@Rizal Amit berkata para pelajar KML yang datang dari keluarga berpendapatan rendah dan sederhana menerima bantuan makanan setiap hari dari pengurusan untuk sarapan pagi hingga makan malam.

Sawang dilaporkan berkata "Penggantungan elaun oleh Kementerian Pendidikan hanya sementara dan kami telah membuat rayuan kepada kementerian untuk mempercepatkan pembayaran elaun,".

Kenyataan Sawang mengesahkan pendedahan saya dan Saudara Muhammad Faiz Fadzil, Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) pada 28 September 2016 dan pada 4 Oktober 2016 yang lepas bahawa para pelajar Program Matrikulasi seluruh negara mengalami masalah elaun sara hidup daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Program Matrikulasi merupakan program persediaan bagi pelajar Bumiputera lulusan Sijil Pelajaran Malaysia untuk melayakkan mereka mengikuti kursus peringkat ijazah dalam bidang Sains, Teknologi dan Sastera Ikhtisas di universiti awam dan swasta. Program ini dibiaya terus oleh KPM.

Program Matrikulasi kini mempunyai lebih kurang 25,000 pelajar dari pelbagai negeri di negara ini dan setiap seorang daripada mereka menerima elaun sara hidup sebanyak RM1,250 bagi setiap semester pembelajaran. Bagi sesi 2016/17 yang sedang berjalan, pihak KPM hanya menjelaskan sejumlah RM500 bagi setiap pelajar yang mana masih tertunggak RM750 bagi setiap pelajar.

Walau pun kami telah mengeluarkan kenyataan mempersoalkan kelewatan pembayaran, tetapi sehingga hari ini elaun sara hidup sebanyak RM750 tersebut masih tertunggak. Malah tiada sebarang respon daripada KPM. Kenapa perkara sebegini masih berlaku dan dibiarkan berlaku.?

Hari ini Pengarah KML mengakui bahawa para pelajarnya tertangguh pembayaran elaun sara hidup dan pengurusan sedang merayu kepada KPM menyelesaikan masalah tersebut yang mana ianya mengesahkan pendedahan kami sebelum ini tetapi KPM masih berdiam diri.

Sawang hanya menafikan pelajarnya kelaparan tetapi masalah elaun tidak juga selesai. Adakah hendak menunggu ada pelajar mati kelaparan baru KPM hendak bertindak?

Ke mana perginya dana yang telah disediakan untuk pembiayaan para pelajar matrikulasi? Apa yang menyebabkan pembiayaan mereka tertangguh? Bila pembiayaan mereka akan dilangsaikan? Mana Menteri? Mana Perdana Menteri?

Kita perlu ingat dan faham bahawa program matrikulasi ini adalah hasil pembentangan Dato' Sri Najib Tun Razak kepada Jemaah Menteri semasa beliau menjawat Menteri Pelajaran dahulu. Sekarang beliau adalah Perdana Menteri. Adakah beliau suka melihat usahanya suatu ketika dulu menjadi sia-sia dan rosak.

Perdana Menteri perlu beri lebih perhatian kepada Program Matrikulasi selain Program Permata di bawah isterinya Datin Sri Rosmah. Jangan hanya utamakan Permata sedang Matrikulasi terbiar.

Jangan sampai ada pelajar mati kelaparan baru mahu bertindak.

ZULHAZMI SAHRIFF
Ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Cawangan Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur.
9 Oktober 2016
8 Muharram 1438

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...