TERKINI :

Tuesday, October 4, 2016

Dakwah perlukan hijrah minda

Dakwah

SAYA sering ditanya mengapa majoriti besar orang Cina Malaysia menolak Islam. Saya kata soalan ini tidak tepat. Orang Cina Malaysia tidak tolak semua tetapi menerima sebahagian daripadanya. Orang Islam sendiri pun tidak ikut semuanya!

Cuba tanya satu soalan mudah: kalau kita sendiri pun tak mampu nak ikut hukum mengumpat, bagaimana Cina bukan Muslim menerima ajaran Islam dari segi ini? Kadang-kadang saya lihat pendakwah-pendakwah kita bercakap tentang hukum-hakam Islam seolah-olah dia berjaya ikut semua hukum secara istiqamah. Dia ingin tunjukkan bahawa Islam itu agama fitrah yang syumul, maka semua orang mesti mampu ikut kesyumulannya. Hakikatnya, ramai pendakwah bukan ajak kepada kesyumulan Islam tetapi kepada budaya beragamanya sendiri.

 Saya pernah bawa seorang mualaf bukan Muslimah ke sebuah pejabat persatuan dakwah Islam. Walaupun kali pertama jumpa, setiausaha persatuan ini terus menegur mualaf bukan Muslimah ini dengan bertanya, "Mengapa kamu tidak pakai tudung?" Inilah kali terakhir mualaf ini jejak kaki ke persatuan ini. Sudah tentu setiausaha ini sendiri adalah seorang Muslimah yang bertudung. Cuba tanya: kalau setiausaha ini tidak bertudung, adakah dia akan menegur tentang budaya tidak bertudung?

Saya lihat setengah pendakwah bukan berdakwah kepada Islam tetapi berdakwah kepada dirinya. Dia nak masyarakat ikut caranya beragama. Kalau dia bertudung, dia akan suruh bertudung. Kalau dia berpuasa sunat, dia akan suruh berpuasa sunat. Baginya, dakwah akan berjaya kalau semua ikut caranya. Pendek kata seperti lirik lagu P Ramlee: Tiru Macam Saya!

Maka, bagi saya soalan yang sepatutnya bukan mengapa Cina tolak Islam. Soalan patut begini: Mengapa Cina terima ideologi asing yang bernama Marxisme/Sosialisme untuk menggantikan sistem pemerintahan dinasti di China walaupun sistem dinasti sudah dipakai di China selama 5,000 tahun? Mengapa Cina terima agama Buddhisme walaupun ia berasal dari India? Kalau agama dari India boleh terima, mengapa tidak agama Islam?

Bagi saya, dakwah terbahagi dua: dakwah mikro dan dakwah makro.

Dakwah mikro ialah dakwah individu ke individu. Contohnya, street dakwah. Ia adalah usaha individu untuk berkomunikasi dengan individu yang lain tentang Islam. Juga, ceramah agama di pentas. Ia adalah usaha individu untuk menyampaikan apa yang beliau sudah belajar tentang Islam di atas pentas kepada individu-individu yang dengar ceramahnya.

Maka, kalau pendakwah ini pakai tudung, sudah tentu dia tekankan betapa pentingnya bertudung. Kalau pendakwah ini mahir perbandingan agama, ia akan cerita tentang agama-agama lain berbandingkan dengan Islam.

Ini adalah dakwah mikro, iaitu dakwah mengikut acuan beragama pendakwah itu sendiri. Kebaikannya ialah pendakwah rasa selesa untuk bercakap kerana apa yang dia sampaikan itu adalah mengikut kadar ilmunya dan acuan beragamanya.

Persoalan ini timbul: adakah apa yang dia belajar tentang Islam sesuai dengan sasaran dakwahnya? Contohnya, adakah hukum-hakam Islam yang dia pernah belajar sesuai dengan masyarakat Cina Mualaf bukan Muslim? Ini soalan penting kerana bila kita kata ini 'hukum Islam', majoriti pandangan sebenarnya terikat dengan pandangan mazhab tertentu. Sebenarnya yang tepat bukan istilah 'Ini hukum Islam' tetapi 'Ini hukum satu mazhab'.

Contohnya isu bolehkah daging korban diberi kepada bukan Muslim. Bila jawapannya ialah 'haram', maka sebenarnya ia berkait dengan pendapat yang terkenal dalam Mazhab Shafi'i. Bagi Mazhab Maliki seperti nukilan Allahyarham Haron Din, hukumnya ialah harus.

Maka, apabila kita diserang oleh soalan kontroversi dari mualaf bukan Muslim tentang status daging korban, kita kena bijak letakkan respons kepada soalan ini dalam konteksnya yang tertentu demi elak fitnah dan salah faham yang lebih besar kepada Islam. Kita bela Islam, bukan bela satu-satu pendapat.

Dakwah Makro ialah dakwah penyelidikan dan pembinaan wacana yang sesuai untuk sesuatu konteks budaya. Orang Cina terima ideologi Karl Marx/Sosialis dan Buddhisme sebab kedua-dua sudah diCINAkan. Tetapi sejauh manakah ajaran Islam di persembahkan dalam acuan yang sesuai di mana seorang Cina tidak rasa membuang bangsanya bila memeluk Islam?

 * Abdul Naser Tun Rahman, Tokoh Pendakwah Perak


No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...