TERKINI :

Saturday, October 22, 2016

Bersih 5: Pas cakap biar terang, jangan jadi keli dalam besen


Mohd Sayuti Omar

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan digesa supaya tidak mengeluarkan kenyataan berbelit berhubung penyertaan parti itu dalam himpunan Bersih, 19 November depan.

Penulis buku politik popular Mohd Sayuti Omar berkata, peguam itu boleh sahaja tanpa perlu berselindung menyatakan menjalin hubungan dengan Umno.

"Takiyuddin tidak payah banyak cakap berliku-liku macam jalan ke Bukit Tinggi.

"Terus terang sahaja Pas tidak mahu sertai Bersih kerana Pas sedia untuk berkerjasama dengan Umno. Cakap biar jelas dan terang.

"Ringkas, tidak menyusah dan mengelirukan orang. Dalam perjuangan kena gentlemen tidak jadi macam ikan keli dalam besen," bidasnya dalam status Facebook beliau.

Sayuti mengulas alasan Takiyuddin kononnya Pas tidak menyertai Bersih 5 kerana perjuangan gerakan kempen menuntut pilihan raya yang adil itu sudah melencong.

Takiyuddin yang juga peguam mendakwa terdapat peserta Bersih sebelum ini memijak gambar pemimpin parti tersebut.

"Kalaulah itu alasan kenapa Pas tidak mahu sertai Bersih, betapa rendah jiwa orang Pas.

"Takkan kerana gambar dipijak sanggup menolak gagasan Bersih untuk memastikan pilihan raya adil dan bersih.

"Tengok Anwar walaupun matanya lebam dibaham polis Dr Mahathir tetapi beliau boleh melupai peristiwa itu demi mencapai cita-cita bersama," tegas Sayuti lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...