TERKINI :

Tuesday, October 11, 2016

Belum bayar RM10k kepada Guan Eng kerana di luar negara, kata Ketua Penerangan PAS

 Nasrudin-Hassan_lim-guan-eng_600
GEORGE TOWN: Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata beliau sebenarnya mahu membayar kos mahkamah sebanyak RM10,000 untuk kes fitnah membabitkan Ketua Menteri Lim Guan Eng, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana berada di luar negara.

“Saya sendiri sebenarnya telah merancang untuk lunaskan kos mahkamah tersebut dalam tempoh terdekat ini setelah menyelesaikan beberapa urusan penting yang tertunggak sepanjang saya berada di luar negara tempoh hari.”

Setakat ini, beliau belum membayarnya.

Nasrudin berkata tindakan pegawai khas undang-undang kepada ketua menteri membuat siaran akhbar mendakwa beliau menghina mahkamah adalah tidak wajar kerana memberi persepsi buruk terhadapnya.

“Pegawai khas undang-undang perlu memahami bahawa tuntutan terhadap kos penghakiman (jika pun tidak dibayar) tidaklah mengakibatkan penghinaan kepada mahkamah.

“Sebaliknya ia hanya bersifat liabiliti sivil (hutang penghakiman) sebagaimana tuntutan hutang yang lain,” kata Nasrudin dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng mengheret Nasrudin ke mahkamah kerana membuat kenyataan berbaur fitnah tentang cadangan terowong dasar laut yang bertajuk “Apa Beza Kidex dan Terowong Pulau Pinang” di Facebook pada 6 Ogos 2014.

Nasrudin mendakwa projek itu dianugerahkan secara rundingan terus dan bukan secara tender terbuka seperti yang diuar-uarkan.

Sebelum ini, pegawai undang-undang khas Guan Eng Raja Syarafina Raja Shuib mendakwa Nasrudin belum melunaskan RM10,000 walaupun perintah mahkamah dihantar pada 19 September.

Nasrudin turut membidas Guan Eng yang belum melunaskan kos RM500 kepada mahkamah kerana membatalkan kes fitnah pertama terhadapnya.

“Jika kegagalan membayar kos adalah satu bentuk penghinaan mahkamah, maka Guan Eng telah lama menghina proses mahkamah walau pun jumlahnya hanya RM500.

“Namun saya tidak bersedia untuk menjadikan isu picisan seperti itu memburukkan Guan Eng, tidak sebagaimana yang dilakukan olehnya melalui pegawainya pada hari ini,” kata Nasrudin.

FMT cuba menghubungi Raja Syarafina untuk mengesahkan sama ada RM500 itu sudah dilunaskan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...