TERKINI :

Thursday, October 27, 2016

Apa nasib pelajar, pensyarah lepas PM umum tutup 9 maktab guru?

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) mahu kepastian status dan nasib pensyarah serta pelajar yang bakal terjejas berikutan keputusan kerajaan untuk menutup sembilan daripada 27 institut latihan guru yang terdapat di negara ini.

Presidennya, Kamarozaman Abd Razak, mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Bajet 2017 minggu lalu yang berkata, sembilan institusi akan dijadikan politeknik dan kolej vokasional.

Kamarozaman mengakui bahawa kesatuan itu ada berjumpa dengan wakil daripada Kementerian Pendidikan sebelum Bajet 2017 dibentangkan dan telah dimaklumkan bahawa institusi berkenaan akan "dinaikkan taraf".

“Kita dah tau cerita tentang institut pendidikan guru (IPG) ini akan dinaiktaraf, cuma dia (kementerian) tak panggil berbincang secara terperinci," katanya kepada Malaysiakini.

Sehubungan itu, KPPK berharap mesyuarat akan datang dengan Kementerian Pelajaran akan membincangkan isu-isu berkaitan pelajar dan pensyarah yang terbabit.

Kamarozaman bagaimanapun berkata beliau tidak pasti bila mesyuarat itu akan diadakan, walaupun telah diberi kepastian ia akan diadakan.

“(Kita) nak tau adakah pensyarah diserapkan ataupun kekal ataupun pergi ke sekolah ataupun pergi ke politek-politek lain. Politek dulu pun guru.

“Kesatuan belum lagi dipanggil untuk berbincang (mengenai perkara ini),” katanya.

Selain nasib pensyarah, KPPK juga ingin bimbang dengan masa depan pelajar semasa di sembilan institusi berkenaan.

“Saya jangka (pelajar) akan dipindahkan ke IPG yang lain, mengikut pilihan masing-masing,” katanya.

Kamarozaman berpendapat bahawa 18 institut lain lebih daripada mencukupi bagi menampung pelajar-pelajar ini.

Ini adalah kerana sejak tempoh dua tahun yang lalu, kerajaan telah mengurangkan pengambilan guru pelatih daripada semua IPG.

“Pengambilan guru semakin berkurangan kalau ikutkan dari segi unjuran kita kalau kita tgengok dengan kementerian, IPG ada 27.

“Jadi tak efektif kalau berlaku kekosongan bangunan,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...