TERKINI :

Tuesday, October 25, 2016

Antara PKR, AMANAH, DAP dan PAS menghadapi pasca PRU14..!!!


PAS boleh memilih untuk bekerjasama dengan Umno, namun pimpinannya perlu bersedia untuk berdepan dengan penolakan sesetengah akar umbinya, yang berdekad-dekad menentang Umno, sehingga ada yang putus hubungan dengan saudara-mara berkeahlian Umno.

Jikalau PAS memilih untuk bersendirian, maka muktamar seterusnya akan menjadi medan untuk bermuhasabah - mengapa prestasi PAS merudum dalam PRU14? Namun ia mungkin sedikit terlambat. Jikalau saf pimpinan sedia ada perlu dipertanggungjawabkan atas kekalahan tersebut, siapa pula penggantinya, memandangkan kebanyakan pemimpin garis kedua telah masuk AMANAH?

DAP nampaknya paling selesa kedudukannya di kalangan parti pembangkang. Jikalau dibuat perkiraan kasar, persempadanan semula, sungguhpun tidak menambah kerusi untuk dimenangi DAP, tetapi kerusi yang dimenangi DAP menjadi lebih "selamat", dengan pemindahan pengundi bukan Melayu ke kawasannya.

Setakat ini, tiada petanda yang menunjukkan bahawa pengundi Cina akan beralih kepada BN dalam PRU14, tetapi ada simptom-simptom menunjukkan peratusan pengundian Cina bakal merosot, lantaran kekecewaan terhadap apa yang berlaku pada hari ini.

Padahal, DAP sudah tepu kemenangannya dalam PRU13, dan agak mustahil untuk melonjak dalam PRU14. Cuma, DAP juga berdepan dengan tekanan penyokong tradisionalnya - apa yang boleh DAP lakukan dengan mandat sebegitu besar?

Pengundi yang "pragmatik" akan berdepan dengan dilema - sama ada memilih pembangkang terbesar yang lantang suaranya, ataupun memilih parti komponen pemerintah yang kecil, tetapi mempunyai sedikit kuasa pentadbiran?

PKR yang berusia 17 tahun sekarang masih kurang mantap, berbanding parti yang lain. Parti ini hampir lemas pada tahun 2004, selepas gelombang Reformasi menyurut. PKR tidak menampilkan imej agama mahupun kaum, tetapi ideal perjuangan dengan nilai keadilan, demokrasi dan kebebasan, sukar berfungsi untuk menggembleng massa. Maka ditekankannya "inklusif", merangkumkan sesiapa sahaja yang menyokong Reformasi, yang hakikatnya membuka ruang untuk diambil kesempatan oleh oportunis.

Parti ini paling banyak melahirkan "katak" selepas PRU12, sebelum dikawal dengan tapisan yang lebih rapi dalam PRU13, itupun gagal menghalang apa yang berlaku di Sabah baru-baru ini. Lebih baik kita bersedia, andainya pembangkang hilang kerajaan negeri Selangor dalam PRU14, apakah PKR masih mampu bertahan?

Tanpa kuasa dan sumber sebagai faktor penyatu, apakah kita akan menyaksikan lompatan katak selepas itu? Dan jikalau ia berlaku, sudah tentu ia memberi impak yang besar kepada politik Malaysia, kerana suka atau tidak, PKR adalah parti berbilang kaum yang paling berjaya di Malaysia buat setakat ini.

Demikianlah senario-senario yang mungkin berlaku, dengan beberapa andaian dan analisis, yang agak negatif terhadap masa kini. Cuma politik adalah seni yang memungkinkan mustahil. Ia bukan statik tetapi dinamik. Masa depan hanya akan berubah seandainya perubahan dilakukan sekarang.

Kalaupun gagal ditambahbaik situasinya, sekurang-kurangnya cubalah menghalangnya daripada menjadi sesuatu yang lebih teruk.

PEMERHATI ATAS PAGAR

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...