TERKINI :

Wednesday, October 19, 2016

Alor Setar - Risiko limpahan air laut tinggi

Risiko limpahan air laut tinggi
ALOR SETAR - Orang ramai disarankan supaya lebih peka dengan keadaan semasa khusus ketika fenomena air pasang besar dan angin kencang yang sedang berlaku.

Pengarah Pejabat Meteorologi Kedah, Rosli Zakaria berkata, risiko limpahan air laut juga adalah tinggi sekiranya kedua-dua fenomena itu berlaku pada satu masa.

“Amaran angin kencang dan laut bergelora telah dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dengan kelajuan antara 40 hingga 50 kilometer perjam dan ombak besar mencapai sehingga 3.5 meter.

“Pada masa sama, kejadian air pasang besar juga diramalkan berlaku di kawasan perairan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang yang akan mendedahkan kepada kenaikan paras air laut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, kejadian itu berkemungkinan besar berlarutan sehingga 19 Oktober ini.

“Jadual waktu air pasang di ramalkan berlaku dengan ketinggian 2.8 meter pada 15 Oktober, 2.9 meter pada 16 Oktober dan 3.0 meter pada 17 hingga 19 Oktober.

“Kejadian sama juga diramalkan berlaku dan sedikit berkurangan pada 20 Oktober dengan bacaan paras ketinggian 2.8 meter,” katanya.

Sementara itu, MetMalaysia menerusi laman web rasminya turut mengeluarkan amaran hujan lebat pada 9.30 pagi di Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Kota Setar, Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim, Bandar Baharu, Perlis dan Pulau Pinang.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...