TERKINI :

Tuesday, October 11, 2016

Adakah semua kesalahan terampun jika bantu Melayu, soal peguam

 Art-Harun
PETALING JAYA: Peguam Azhar Harun bingung melihat tindakan segelintir orang Melayu pertahankan speaker motivasi Azizan Osman, yang “memperdaya, jika tidak menipu” kepada orang ramai mengenai kesahihan ijazah kedoktorannya.

Azhar, yang lebih dikenali sebagai Art Harun, menulis di Facebook hari ini mengulas reaksi orang ramai, terutamanya segelintir orang Melayu terhadap kenyataan rasmi 3 universiti tempatan dan 1 dari United Kingdom yang nafi menganugerahkan ijazah kedoktoran kepada Azizan.

“Mereka (puak segelintir) berhujah kita boleh ketepikan hakikat yang dia perdaya orang ramai kerana dia sudah membantu ribuan orang Melayu.

“Hujah ini menyingkap pemikiran sebenar segelintir orang Melayu. Tidak apa berbohong kerana dia sudah bantu orang kita,” kata Art membidas sikap sesetengah pihak yang pertahankan Azizan di media sosial.

Art percaya mentaliti yang sama boleh diguna pakai untuk menggambarkan lanskap politik negara.

“Patutlah ada orang Melayu mengizinkan pemimpin yang korup dan menyeleweng memegang jawatan awam tertentu dan menganggap kemudahan awam seolah kepunyaan peribadi, kerana mereka sudah ‘bantu orang Melayu’,” tambahnya.

Peguam itu berpendapat pemikiran yang serupa barangkali menjelaskan amalan mengahwinkan mangsa pemerkosaan dengan pemangsa mereka.

“Dalam senario perogol, barangkali tidak mengapa dia merogol mangsanya kerana sekarang dia bersetuju untuk ‘bantu’ mangsa dengan mengahwininya.

“Seolah elok untuk mereka berkahwin kerana perogol sudah memohon maaf dan bersetuju untuk pulihkan maruah mangsanya,” kata Art.

Beliau sempat berseloroh dengan berkata sekarang ini semua kesalahan “tidak diendahkan atau dimaafkan” hanya dengan “bantu orang Melayu”.

Mengecam pemikiran simplistik itu, Art berkata, “dengan ini, saya berikrar untuk membantu orang Melayu mulai hari ini.”

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...