TERKINI :

Friday, September 9, 2016

Umno tersedak lihat pertemuan Dr M-Anwar, kata Mahfuz

Pertemuan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan seteru politiknya Datuk Seri Anwar Ibrahim menimbulkan reaksi menggerunkan pemimpin Umno, kata ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Menurut Mahfuz, tiga kali Umno mengalami 'serangan histeria' iaitu sebelum dan selepas Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) mengemukakan permohonan kepada pendaftar pertubuhan (ROS) serta pertemuan kedua-dua pemimpin politik itu.

"Nampaknya dalam tempoh sebulan setengah ini sudah tiga kali Umno diserang histeria.

"Reaksi pemimpin Umno terhadap pertemuan dua insan dan tokoh hebat ini menjadikan pemimpin Umno tak mampu berkata apa-apa selain lemparan tuduhan Tun M terdesak.

"Hakikatnya pemimpin dan Umno mengalami keadaan tersedak daripada pertemuan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Pemimpin Umno baru-baru ini menyifatkan tindakan Mahathir menemui seteru politik yang juga bekas anak didiknya itu sebagai tindakan politik terdesak.

Antaranya oleh timbalan presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang turut mendakwa tujuan Mahathir mempunyai maksud tersirat.

Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar juga mempersoalkan kewajaran Mahathir menemui Anwar selepas mengeluarkan pelbagai cercaan terhadapnya..

Terdahulu, Mahathir hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 September lalu bagi menyatakan sokongan terhadap permohonan Anwar mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Kedua-dua seteru politik itu kemudian dilihat bersalaman selepas 18 tahun bermusuhan.

Menurut Mahfuz, Mahathir terdesak untuk menyokong permohonan Anwar bagi menyelamatkan negara daripada akta MKN yang memberikan banyak kuasa kepada perdana menteri Datuk Seri Najib Razak. Sebaliknya, pemimpin Umno pula tersedak melihat pertemuan kedua-dua tokoh itu.

"Dua insan ini sedang menyokong dan mendokong antara satu sama lain dalam menyekat penguatkuasaan akta MKN yang merampas kuasa Yang di Pertuan Agong melindungi rakyat dan negara.

"Pertemuan dua tokoh ini menjadikan Umno tersedak dan membawa kepada saluran pernafasan Umno tersumbat. Ini menunjukan jangka hayat Umno tak lama," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...