TERKINI :

Monday, September 26, 2016

'Umno tak gentar Mukhriz tanding di Kedah'


UMNO Kedah tidak gentar sekiranya bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir bertanding di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata Mukhriz, yang kini menjadi Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), berhak bertanding di mana-mana kerusi seperti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam dan Parlimen Jerlun yang pernah disandangnya.

"Mungkin Mukhriz mahu bertanding di Parlimen Kubang Pasu yang pernah disandang bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad. Kita alu-alukan dan kita tidak gentar untuk berhadapan dengan parti itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2016 Peringkat Negeri Kedah di Alor Setar, hari ini.

Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar Kedah mengulas laporan media mengenai kenyataan Mukhriz yang mahu mengetuai PPBM di Kedah dan seterusnya bertanding dalam PRU ke-14 di negeri kelahirannya itu.

Ditanya mengenai sokongan kepada PPBM, Ahmad Bashah berkata
mereka yang menyokong parti pembangkang itu adalah yang kecewa kerana tidak mendapat sebarang jawatan dalam parti di peringkat cawangan.

"Parti itu (PPBM) hanya disokong oleh mereka yang kecewa dengan UMNO sama seperti pemimpinnya yang kecewa dengan UMNO. Sekarang mereka yang kecewa itu ada peluang untuk mendapat jawatan," katanya.

Ahmad Bashah berkata perkara itu tidak menggugat kedudukan UMNO kerana parti berusia 70 tahun itu telah menabur bakti kepada rakyat dan mereka mampu menilai perjuangan yang dilakukannya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri akan mewujudkan bazar wanita bagi membuka peluang kepada golongan itu menambah pendapatan sekaligus menjadi pusat sehenti untuk peniaga dan usahawan wanita.

Terdahulu, Ahmad Bashah dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Datuk Yatimah Sarjiman serta Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga Datuk Suraya Yaacob menjadi tetamu pada program bicara santai bersama Menteri Besar Kedah dengan topik 'Muafakat Wanita Kedah'.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...