TERKINI :

Wednesday, September 7, 2016

Umno panik bila Mahathir bersalam dengan Anwar, kata Azmin


Umno kini berasa gelisah ekoran pertemuan bersejarah antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ujar Azmin, pertemuan tersebut telah menyatukan parti-parti pembangkang dan rakyat Malaysia dengan pada masa yang sama mencetuskan suasana panik dalam kem Umno.

"Saya rasa ini adalah pertemuan yang baik untuk menyatukan rakyat Malaysia dan mengukuhkan parti pembangkang.

"Sebab itu, Umno kini panik," kata Azmin kepada pemberita selepas menghadiri forum 'Penyelesaian Copenhagen untuk bandar mampan' di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed semalam mengenai pertemuan antara bekas perdana menteri dan ketua umum PKR itu yang boleh menyebabkan ahli-ahli PKR tidak berpuas hati dan keluar parti.

"Kenapa Nur Jazlan begitu sibuk tentang (pertemuan) ini? Ini adalah satu permulaan yang baik kerana kita mempunyai satu matlamat yang sama - selamatkan Malaysia dan memulihkan ekonomi," tambah Azmin.

Ditanya sama ada pertemuan itu diatur oleh beliau, Azmin berkata, ia merupakan usaha kolektif.

Tambah beliau, pihaknya akan terus bekerjasama dengan semua pihak memandangkan kemajuan pesat semasa.

"Ia suatu proses yang berterusan. Kami berharap dapat membuahkan hasil," katanya.

Azmin, bagaimanapun, enggan mengulas sama ada Mahathir menghulurkan salam perdamaian dengan Anwar atau sama ada Anwar harus memaafkan Mahathir.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...