TERKINI :

Monday, September 26, 2016

Tuanku Mahu Kuin dapat status universiti penuh menjelang 2017

Abdul Halim Mu'adzam Shah

BALING - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini menzahirkan harapan agar kerajaan negeri memastikan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) mendapat status universiti penuh menjelang 2017.

Canselor Kuin itu bertitah, di bawah teraju Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah selaku Menteri Besar Kedah, baginda berharap cita-cita untuk melihat tertubuhnya universiti Islam pertama di negeri jelapang padi ini tercapai tidak lama lagi.

"Ia pasti akan terlaksana dengan jayanya sekiranya semua pihak sentiasa berganding bahu untuk mencapai hasrat dan cita-cita ini," titah baginda.

Teks ucapan baginda dibacakan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah yang juga Pro Canselor I Kuin, di Istiadat Konvokesyen ke-18 Kuin di Kuala Ketil dekat sini, hari ini.

Menteri Besar serta isteri turut hadir pada istiadat itu.

Dalam titah itu juga, baginda mahu graduan Kuin menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara melalui nilai wasatiyyah bercirikan akhlak yang terpuji dan mampu memartabatkan nama baik Kuin di mata dunia.

"Kejayaan yang dicapai hari ini menjadi pemangkin kepada generasi yang akan datang ke arah pembinaan tamadun keilmuan Islam dalam melahirkan generasi ulul-albab melalui pendekatan al-Quran dan al-Sunnah," titah baginda.

Seri Paduka turut yakin semua graduan Kuin mampu memenuhi kehendak dan keperluan pasaran serta industri masa kini, dan menjadi ilmuan yang tinggi nilai akhlaknya.

"Beta berharap Kuin juga dapat tingkatkan mutu pengajaran dengan mengambil kira kehendak industri yang bukan sahaja tawarkan produk dan perkhidmatan yang patuh syariah, tapi juga graduan holistik yang berpegang teguh kepada nilai wasatiyyah," titahnya.

Sementara itu, Ahmad Bashah berkata kerajaan negeri akan terus memberi komitmen tinggi dalam memperkasa sistem pendidikan yang seimbang di negeri ini, ke arah menjadikan Kuin sebuah univerisiti Islam yang unggul dan disegani di rantau ini.

Jelasnya, ini selaras dengan aspirasi kerajaan negeri dalam melahirkan lebih ramai para ilmuan Islam yang mampu mengintegrasikan antara ilmu duniawi dan ilmu ukhrawi.

"Para ilmuan Islam ini yang dapat memimpin masyarakat serta mencorakkan kehidupan masa hadapan yang lebih berkualiti yang berteraskan kepada penghayatan al-Quran dan al-Sunnah.

Sejumlah 1,484 pelajar terlibat dalam konvokesyen selama dua hari bermula hari ini, terdiri daripada pelbagai peringkat pengajian iaitu Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...