TERKINI :

Saturday, September 3, 2016

Timbalan Mufti Kedah - 'Bincang majlis fatwa, PBT gesaan roboh patung helang'

http://secondbreakfast.in/wp-content/uploads/2016/07/Eagle-Square-in-Langkawi.jpg

Pihak Mufti Kedah akan berbincang dengan majlis jawatankuasa fatwa terlebih dahulu susulan terdapat gesaan supaya tugu helang di Langkawi dirobohkan atas faktor haram dari sudut agama.

Timbalan Mufti Kedah, Sheikh Marwazi Dziyauddin berkata selepas perbincangan rasmi, perkara itu akan dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya tindakan susulan diambil.

"Kita belum lihat perkara ini tapi kalau ada (gesaan), kita akan bincang secara rasmi. Buat masa ini mufti tak kata apa lagi dan isu ini telah berlalu lama.

"Pihak kita akan buat perbincangan dengan majlis jawatankuasa fatwa terutamanya, di situlah kita lihat apa yang sesuai dan kita akan lihat apa yang patut untuk dikemukakan pada PBT," katanya kepada Malaysiakini.

Marwazi berkata demikian ketika ditanya berhubung kenyataan Timbalan Mufti Perak Zamri Hashim bahawa memasang replika burung helang sebagai mercu tanda adalah haram kerana ia menyerupai bentuk haiwan hidup.

Beliau turut memetik hadis riwayat Ibnu Abbas mengenai larangan Nabi Muhammad terhadap pembinaan patung seumpama itu.

Zamri menjelaskan perkara itu selepas menerima surat rasmi daripada sebuah pihak berkuasa tempatan yang bertanya hukum membuat replika burung helang untuk tempat yang berkaitan dengan binatang itu.

Sementara itu Marwazi berkata, ketika pembinaan tugu tersebut dibina, pihak yang membuatnya tidak merujuk kepada Jabatan Agama Negeri Kedah terlebih dahulu.

"Ya, dari hukumnya haram semua sedia maklum cuma apabila dah jadi dan ketika pembinaan dulu pihak berkenaan tak merujuk pada pihak berkuasa agama jadi mereka buat juga.

"Sekarang ni kalau nak suruh buang kena ada rundingan dan tak boleh didedahkan pada umum nanti jadi cerita lain pula," katanya.

Langkawi merupakan pusat tumpuan pelancongan yang antara tarikan utamanya ialah patung seekor helang yang bersedia untuk terbang di Dataran Lang berhampiran Jeti Kuah.

Menurut portal rasmi Majlis Perbandaran Langkawi, pusat peranginan itu memperolehi namanya daripada helang - dalam Bahasa Melayu Lama, kawi bermaksud perang kemerahan oleh itu, Langkawi bermaksud 'Helang perang kemerahan'.

Bagaimanapun portal itu tidak menyatakan bilakah tugu ini dibina.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...