TERKINI :

Monday, September 12, 2016

Tanda Umno Johor sudah mula goyah

Tanda Umno Johor sudah mula goyah

JOHOR BAHRU - Tindakan dua veteran Umno Johor keluar parti adalah satu tamparan besar kepada Umno negeri ini.

Ia jelas menunjukkan ramai di antara ahli Umno sekarang sebenarnya tidak yakin lagi dengan parti itu di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pengerusi Keadilan Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, beliau menyambut baik berita berkenaan.

"Saya percaya dua kes ini, bukan kes bersendirian dan dijangka lebih ramai pemimpin Umno keluar parti serta berhijrah ke parti lain, untuk meneruskan perjuangan politik mereka pada masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Terdahulu, dua ahli veteran Umno Johor yang merupakan bekas wakil rakyat negeri ini, iaitu Datuk Baharom Abdul Ghani dan Tosrin Jarvanthi mengambil keputusan keluar parti.

Baharom adalah pengasas Umno Bahagian Gelang Patah, manakala Tosrin pula adalah bekas Ketua Umno Bahagian Senai.

Jimmy berkata, beliau percaya, terdapat juga segolongan besar ahli Umno yang mungkin tidak keluar parti tetapi akan menolak parti itu dalam pilihan raya akan datang.

"Silent majority ini akan menjadi penentu dalam PRU14. Umno Johor yang sekian lama dikatakan kubu Umno kini nampaknya sudah mula goyang.

"Dengan krisis kepimpinan dan kemunculan skandal kewangan yang tidak dapat dijelaskan oleh pimpinan Umno sendiri, ramai ahli dalam Umno sudah mula sedar bahawa masa hadapan negara dan generasi muda hanya dapat diselamatkan sekiranya Umno tumbang," katanya.

Tambahnya, pada PRU13, pembangkang telah berjaya memenangi lima kerusi Parlimen serta 18 kerusi di Dewan Undangan Negeri Johor dan ia satu prestasi yang tidak pernah berlaku di arena politik Johor.

"Dengan berita terkejut hari ini, kemungkinan besar landskap politik Johor bakal berubah sekali lagi," katanya.


No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...