TERKINI :

Friday, September 30, 2016

Sungai Petani : 2 berusia 16 dan 17 tahun remaja didakwa rompak bersenjata

2 remaja didakwa rompak bersenjata

SUNGAI PETANI - Dua remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Juvana di sini, semalam, atas tuduhan melakukan rompakan bersenjata, 31 Ogos lalu.

Remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun itu didakwa melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan parang ke atas mangsa perempuan berusia 23 tahun dengan mengambil wang berjumlah RM47 dan 12 kotak jenama Dunhill membabitkan kerugian RM204.44.

Kedua juvana itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai serbaneka 7Eleven di Aman Square, Jalan Kuala Ketil, di sini, kira-kira jam 5.30 pagi, 31 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Selepas pertuduhan dibacakan terhadap kedua remaja itu, mereka mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Adibah Husna Zainal Abidin.

Dalam mahkamah sama, remaja berusia 16 tahun dari Taman Bandar Puteri Jaya, di sini, mempunyai tiga lagi pertuduhan berasingan atas tuduhan merompak dan merompak berkumpulan dengan bersenjatakan parang pada hujung Ogos hingga awal September lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, remaja lelaki itu dituduh melakukan rompakan terhadap mangsa perempuan berusia 24 tahun dengan mengambil wang tunai RM200 dan 20 kotak rokok Dunhill di sebuah kedai serbaneka 7Eleven di Jalan Ibrahim, kira-kira jam 1.20 pagi, 2 September lalu.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan rompakan ke atas mangsa perempuan berusia 18 dengan mengambil wang tunai RM143 dan 11 kotak rokok pelbagai jenama di sebuah kedai serbaneka 7Eleven, di Pekan Baru, di sini, kira- kira jam 5.05 petang pada 2 September lalu.

Untuk dua pertuduhan itu, remaja berkenaan didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan disebat.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh sama dituduh bersama seorang  lagi rakan yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan ke atas mangsa wanita berusia 34 tahun dengan bersenjata parang dengan mengambil wang tunai RM45 dengan 17 kotak rokok pelbagai jenama, di Kedai Serbaneka 7Eleven, Jalan Lagenda Height, di sini, kira-kira jam 4.45 pagi, 1 September lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Sejurus tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Adibah Husna, tertuduh mengaku tidak bersalah.

Terdahulu, Adibah Husna membenarkan kedua tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM5,000 untuk setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan pada 26 Oktober ini untuk sebutan semula.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Inspektor Mohd  Firdhaust Zainal.

Sebelum ini, Sinar Harian, melaporkan kegiatan samun bersenjata kedai serbaneka 24 jam didalangi enam lelaki dikenali sebagai Geng Mizi  tumpas apabila semua suspek ditahan polis dalam serbuan di beberapa lokasi sekitar bandar ini, baru-baru ini.


No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...