TERKINI :

Wednesday, September 28, 2016

Semua salahkan PKR dan DAP sebab kejatuhan PR.. PAS tidak ada salahkah duhai Pak Subky Latif


Tulisan Pak Subky Latif pada 26 september 2016 bertajuk "Semua pecahkan pembangkang" yang diterbitkan Harakah amatlah bias dan hanya menulis berdasarkan lapisan pertama sesuatu isu dan gagal untuk menghuraikan masalah sebenar yang menyebabkan isu itu timbul.

Benar, demi menumbangkan BN dalam PRU14, semua parti pembangkang mengajak Pas untuk bersetuju dengan formula satu lawan satu menentang BN, namun hari ini tidak semua meletakkan harapan sama apabila Pas konsisten menentang DAP dan Amanah berbanding mengutamakan musuh yang lebih utama,iaitu BN, lebih menarik lagi apabila Pas telah dilihat lebih cenderung untuk bersama Umno berbanding bekas sekutunya, DAP.

Pas sesungguhnya tidak tahu untung dan ruginya, Pas hanya tahu DAP kafir dan Amanah pengkhianat, kerana itu boleh keluar kenyataan dari pemimpin Pas bahawa Pas lebih kuat sendirian walaupun sejarah membuktikan sebaliknya.

Pak Subky mendakwa parti yang mengajak pembangkang bersatu sebenarnya menyuruh mereka berpecah, dakwanya tindakan membentuk parti lain menjadikan pembangkang pecah dua dan kerana itu wujud tiga penjuru.

Benar kata Pak Subky, umumnya jika dilihat pada asas tersebut tentulah kewujudan parti baru akan menyebabkan tiga penjuru, namun adakah Pak Subky meneliti dengan baik, mengapa wujud parti baru, adakah kerana keegoan seorang tokoh atau pun ada alasan yang lebih besar di situ?

Apabila Anwar Ibrahim menubuhkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), adakah Pak Subky hanya melihat ia tindakan gopoh yang tidak berpandangan jauh? Ataupun sebenarnya Pak Subky lah yang berpandangan sempit?

Pak Subky menulis, jika Anwar berpandangan jauh,dia masuk Pas atau DAP sahaja,namun kerana hendak parti sendiri maka dirangkum PRM dan PKR menjadikan pembangkang tiga parti, namun adakah Pak Subky mampu berfikir lebih rasional di tempat Anwar ketika itu, bahawa jika beliau memilih DAP, bukankah itu akan menjadi senjata ampuh buat BN untuk membunuh karekter Anwar memandangkan waktu itu DAP masih dipandang serong orang melayu kerana momokan Umno BN. Kalau sahaja Anwar memilih langkah "pandang jauh" Pak Subky, boleh jadi beliau sudah tidak releven dalam politik hari ini.

Mengapa pula bukan Pas? Disini sebenarnya menyerlahkan kematangan politik dan membuktikan Anwar lebih berpandangan jauh, jika beliau menyertai Pas, masakan dia mampu memujuk pembangkang lain terutama DAP dalam satu gerakan menentang BN, apatah lagi rekod pertentangan Pas-DAP bukanlah hanya bermula semalam sebaliknya sedari awal Pas membawa agenda negara Islamnya lagi.

Kewujudan lebih dari dua parti senior telah membuktikan tiada masalah jika setiap parti sanggup berunding dan duduk semeja membincangkan maslahah yang lebih utama, yang menjadi masalah bila mana Pas memulakan langkah khianat terhadap rakan pembangkang. Bolehkah sesiapa menafikan bahawa pernah wujud usaha kerjasama Pas-Umno seawal tahun 2008 lagi, kita tidak lupa pendedahan Ustaz Ahmad Awang bila mana seorang pemimpin atasan Pas menghubungi beliau untuk membubarkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak untuk menubuhkan kerajaan perpaduan Pas-Umno? Atau pun bolehkah sesiapa menafikan wujud pertemuan sulit pemimpin Pas bersama Tun Abdullah Ahmad Badawi sewaktu beliau menjadi perdana menteri? Adakah Pak Subky tidak melihat ini sebenarnya ancaman awal perpecahan Pakatan yang nyata telah berlaku hari ini.

Pak Subky menulis, " Terbaik buat Pas ialah menarik diri daripada tahaluf dengan DAP. Ia cabaran buat DAP dan PKR. Jika sedia bersabar, fikirkan apa cara Pas dapat diajak balik bertahaluf.", apakah malang wahai Bapak, mahu parti yang muda usianya memujuk parti yang sudah separuh abad, adakah dalam Pas tiada pemimpin yang waras dan mampu memikirkan baik buruk tindakan yang dilakukan sehinggakan perlu parti yang lebih muda untuk bersabar.

Mengapa tanggungjawab mengusahakan supaya pembangkang kekal tiga diletak pada bahu PKR dan DAP sedangkan yang membuat "tahi" dalam gabungan adalah Pas sendiri?

Mengapa disalahkan PKR dan DAP yang meraikan kelahiran parti Amanah sedangkan kelahiran itu berpunca dari kegagalan Pas menyelesaikan masalah dalaman parti mereka? Apakah PKR dan DAP harus menghalang pemimpin yang dizalimi dan dikhianati dalam Pas dari keluar dan dan menubuhkan parti baru?

Adakah tiada dalam Pas pemimpin yang berpandangan jauh yang boleh meramalkan ketika itu jika terus menerus pimpinan progresif dalam Pas difitnah,dilabel bermacam macam, bahkan dicederakan secara fizikal boleh mengundang kepada protes mereka lalu lahirlah parti baru Amanah? Jangan nampak kesalahan PKR dan DAP yang tidak menghalang penubuhan parti baru, salahkan individu dan kumpulan yang menekan dan menghinakan pemimpin parti sendiri yang tidak sealiran yang menjadi punca sehingga akhirnya mereka keluar parti dan menubuhkan parti baharu.

Pak Subky, pembangkang yang empat,lima,atau enam tidak menjadi masalah jika setiap pimpinan parti mampu waras berfikir dan tidak haloba, pembahagian kerusi boleh dirunding berdasar potensi setiap parti berdasarkan kawasan tertentu, bukan dengan hanya tahu mengaku itu kerusi tradisi namun menang tidak pernah sekali.

Dr.Mahathir dan Muhyidin, jika mengikut cadangan Pak Subky, tentu sekali tamatlah riwayat politik mereka setelah tidak lama masa berlalu, masakan bekas pemimpin Umno ini boleh menarik ahli dari penyokong Umno jika mereka masuk DAP dan PKR sedangkan itu musuh abadi mereka,sedangkan fungsi mereka untuk menarik seramai mungkin orang melayu Umno keluar dari parti keramat melayu itu. Mengapa bukan Pas?

Pak Subky tahu mereka keluar dan dipecat Umno kerana lawan 1MDB, maka tepuk dada tanya akal, adakah Pas parti yang sesuai untuk tujuan itu? atau mungkin Mahathir dan Muhyidin akan ditunggang demi agenda politik sempit Pas sahaja?

Namun, katakanlah Mungkin ada benar juga kata kata Pak Subki. Bayangkan berlaku sebagaimana idea bernas Pak Subky, tanpa Amanah, tanpa Bersatu. Formula 1-1, cantik dan licin.

Bayangkan keputusan pru14 seperti berikut; PR 117 BN 105.

Atas kertas, BN telah kalah dan kerajaan baru mengambil Putrajaya. Tetapi bayangkan bagaimana mahu berunding dengan Pas untuk membentuk kerajaan. Apa jadi kalau Pas minta untuk menjadi Perdana Menteri secara bergilir, atau jawatan kekal TPM nombor 1.

Sesuatu yang tidak munasabah. Jika ditolak, tidak mustahil Pas bersama 10 kerusi terjun dari Pakatan membawa rundingan kepada BN untuk ghanimah yang lebih besar. Adakah itu mustahil?

Pendedahan Ustaz Ahmad Awang tentang apa yang berlaku di Perak dahulu mampu memberi "analisis situasi" ini asas yang kuat.

Adakah Pak Subky mampu menidakkannya? Ini adalah risiko, orang berpandangan jauh perlu memikirkannya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...