TERKINI :

Friday, September 9, 2016

RUU 355: Perincian pindaan selepas usul Hadi lulus, kata PAS

Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965
KUALA LUMPUR: Tak timbul isu Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 tidak jelas diperincikan kerana usul itu belum dibahas.

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan menjelaskan pindaan ke atas Akta 355 hanya akan diperincikan dalam sesi perbahasan selepas usul Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilulus dan diangkat sebagai RUU kerajaan.

Malah, tujuan usul Hadi itu sebenarnya untuk mendapat kesepakatan ahli Parlimen meminda Akta 355, jelasnya.

"RUU persendirian (Abdul Hadi) bukan untuk meminda, tetapi mencadangkan agar pindaan dibuat terhadap Akta 355," kata Nasrudin kepada FMT.

"Yang inilah kita minta sokongan daripada ahli Parlimen, terutama yang beragama Islam," tambahnya.

Pada masa ini, bidang kuasa Akta 355 menetapkan denda tidak lebih RM5,000, penjara tidak lebih 3 tahun dan 6 sebatan.

Dalam usulnya, Hadi yang juga Presiden PAS antara lain ingin memasukkan seksyen baru iaitu Seksyen 2A, yang menyebut: Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan selain dari hukuman mati.

"Jika diluluskan, RUU akan dipulangkan semula kepada pihak kerajaan untuk diangkat sebagai RUU kerajaan.

"Ketika bacaan kedua itulah akan dimasukkan pindaan secara terperinci, mengikut terma undang-undang dan berdasarkan pandangan Peguam Negara, Majlis Raja-raja dan pihak lain," kata Nasrudin, menambah dalam perbahasan itu wakil rakyat berpeluang untuk mengkritik atau melakukan penambahbaikan.

Isu perincian usul Hadi berbangkit selepas ahli politik pembangkang menyatakan sukar untuk mereka menyahut seruan menyokong RUU itu kerana ia tidak dijelaskan dengan baik.

Ia menyusuli gesaan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri kepada wakil rakyat beragama Islam supaya menyokong usul itu.

Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata gesaan itu memberi tekanan yang tidak wajar kepada wakil-wakil rakyat beragama Islam yang masih belum jelas akan RUU yang ditangani.


No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...