TERKINI :

Monday, September 12, 2016

Rahman Dahlan kecam Dr M sudah tidak waras


JOHOR BAHRU: Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Abdul Rahman Dahlan menyifatkan tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ini sudah sampai ke tahap tiada kewarasannya.

Beliau berkata apa sahaja tindakan yang dilakukan bekas perdana menteri itu, termasuk tidak menolak untuk bekerjasama dengan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah menjadi sesuatu yang bukan luar biasa lagi.

"Tun Mahathir sudah kelirukan satu negara dan saya rasa, apa yang beliau buat sekarang ini tidak lagi menjadi satu perkara yang luar biasa apabila sudah sampai di satu tahap di mana tindakan-tindakan beliau ini pada saya, tiada kewarasannya," katanya.

Abdul Rahman yang juga menteri di jabatan perdana menteri berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Gelang Patah, di sini hari ini. Turut hadir Ketua Umno bahagian tersebut, Mohammad Khairi A Malik.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir yang menegaskan tiada masalah bagi beliau untuk bekerjasama dengan Anwar, sama seperti yang dilakukan oleh Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Dr Mahathir muncul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Isnin lepas untuk menghadiri pendengaran kes permohonan yang difailkan Anwar bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu yang sebelum ini merupakan seteru politik adalah yang pertama sejak 18 tahun.

Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis itu, Abdul Rahman menggesa seluruh anggota Umno supaya sentiasa bersatu padu, menyemai sikap ikhlas dalam perjuangan parti serta menunjukkan taat setia yang tidak berbelah-bahagi kepada pemimpin.

Pengarah Komunikasi Strategik BN itu berkata semua itu bukan sahaja menjamin kelangsungan Umno malah dapat memenangi pilihan raya umum ke-14 nanti.

"Umno merupakan parti yang sentiasa konsisten kerana Umno mempunyai tujuan.

Perjuangan kita rapat kepada bangsa dan agama, namun kaum-kaum lain tidak dianaktirikan," katanya.


No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...