TERKINI :

Friday, September 9, 2016

PRU14 : Rakyat tidak akan berpeluk tubuh

Pilihanraya

SHAH ALAM – Penganalisis politik yakin rakyat tidak akan berpeluk tubuh atau mengendahkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebaliknya mereka akan memilih pemimpin dan parti yang memberi harapan baharu kepada Malaysia.

Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak, Prof Madya Dr Jeniri Amir menjangkakan PRU14 nanti bakal menjadi lebih sengit berbanding dua pilihan raya umum yang lalu.

"Kerana untuk kali ini, isunya jauh lebih besar,apabila rakyat mempertikaikan soal kepimpinan negara dan sebagainya.

"Jadi, mereka nak memastikan mereka mempunyai suara dalam menentukan kepimpinan negara dan masa depan politik Malaysia. Jadi, mereka tidak boleh berdiam diri," katanya kepada Sinar Online.

Dalam pada itu, beliau melihat barisan kepimpinan sedia ada hari ini perlu menyampaikan mesej yang jelas kepada rakyat.

"Tetapi sebelum itu, pemimpin perlu terlebih dahulu membuktikan bahawa mereka merupakan kepimpinan dan parti yang boleh digantung harap oleh rakyat.

"Kerana akhirnya menjadi perkiraan terakhir saya fikir ialah kepimpinan yang boleh mengeluarkan negara ini daripada belenggu yang mencengkam sekarang. Jadi, kepimpinan itu harus memberi harapan baharu kepada rakyat Malaysia," katanya.

Pemimpin akan datang bakal dinilai kemampuannya dalam meletakkan Malaysia ini di atas landasan betul berteraskan prinsip-prinsip demokrasi, ketelusan dan tadbir urus yang baik.

"Kerana selagi kita dibelenggu pelbagai masalah, kita akan diheret ke bawah. Jadi, kita perlu keluar daripada dilema dan cengkaman yang membelit kita sekian lama. Kalau tidak, sampai bila kita akan ada dalam lingkaran yang akan meruntuhkan masa depan kita sendiri.

"Kita memerlukan pemimpin politik yang jelas wawasannya. Mesej sedemikian perlu dihantar kepada rakyat bahawa kepimpinan di peringkat atasan itu perlu menunjukkan teladan yang baik terlebih dahulu," katanya.


No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...