TERKINI :

Wednesday, September 21, 2016

PKR perlu terima hakikat PRU 14 tanpa Anwar, kata Saifuddin

 
PETALING JAYA: Datuk Saifuddin Nasution meminta PKR bersiap sedia menerima hakikat parti itu akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), tanpa Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saifuddin, yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR berkata, barisan pembangkang tiada pilihan tetapi wajib bersedia tanpa Anwar untuk mengetuai barisan pembangkang.

“Bersedia atau tidak, PKR tiada pilihan dan jika diberi peluang kami tentu mahu Anwar mengetuai PRU ini.

“Dalam keadaan ini PKR wajib bersedia dengan keadaan ini,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun beliau akui ini bukan kali pertama PKR berdepan PRU tanpa Anwar kerana ia pernah berlaku dalam 2 pilihan raya sebelum ini iaitu pada 1999 dan 2004.

Saifuddin turut menegaskan, cabaran besar PKR pada PRU akan datang ialah untuk mengelakkan pertandingan 3 penjuru.

“Itu cabaran utama Keadilan dan parti pembangkang lain. Oleh itu PKR sedang bekerja keras mendapatkan persetujuan dari semua parti pembangkang bagi mengelak keadaan itu berlaku. Pada tahun 2008 dan 2013, pembangkang bersatu hati dengan saingan satu lawan satu tetapi senario kali ini berbeza,” katanya.

Beliau juga berkata isu sama ada Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengetuai parti pembangkang tidak penting memandangkan fokus utama parti itu adalah usaha berdepan pengundi Umno di kawasan Felda.

“Kemenangan Umno datangnya dari kawasan Felda kerana ia merupakan kubu kuat BN. Kecuali di kawasan Parlimen Tanah Merah di Kelantan, walaupun ada Felda, Umno kalah. Yang lain semua Umno menang,” katanya.

Selain itu, PKR berusaha gigih dengan memasang strategi untuk memenangi hati pengundi awal memandangkan kelompok ini banyak mempengaruhi keputusan PRU lalu.

“Tidak ketinggalan, polis, tentera dan kakitangan SPR yang berjumlah hampir 400,000 orang. Bilangan ini juga besar dan pengaruh utama keputusan PRU lepas.

“Di samping itu, PRU kali ini juga akan meletakkan kemampuan PKR dan pembangkang memecahkan dominasi BN di Sabah,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...