TERKINI :

Wednesday, September 7, 2016

Pindaan Akta 355 : Ramai MP yang masih tidak faham apa itu usul yang dibawa Marang

Kerajaan perlu jelaskan RUU 355 sah atau tidak sebelum bawa ke Parlimen

PETALING JAYA: Kerajaan perlu menjelaskan sama ada Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355, sah di sisi undang-undang atau tidak, kata Charles Santiago.

Ahli Parlimen Klang berkata kesahan RUU perlu dibincang dan ditentukan sebelum dibawa ke Parlimen untuk dibahas. “Kerajaan dan pihak berkepentingan harus menjelaskan bahawa adakah RUU 355 akan bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia ataupun tidak.

“Selepas kita selesai dengan isu ini, barulah kita boleh bincang adakah boleh dipersetujui ataupun tidak,” katanya kepada FMT. Semalam, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata partinya menyokong usaha memperkasa Mahkamah Syariah namun usul yang dibawa Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak jelas sehingga menimbulkan kekeliruan kerana dibentang tanpa bahas.

Oleh itu, PAS perlu beri penjelasan terperinci berhubung usul itu sebelum mendapat sokongan Amanah, katanya. “Sedikit lucu apabila Marang sudah dapat platform untuk membahas, minta pula ditangguhkan ke persidangan akan datang,” kata Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuriraani Patto. Beliau akui masih belum jelas tentang usul bawaan PAS itu, dan mendakwa sikap penyokong usul Hadi tidak bantu meleraikan kekeliruan.

“Saya harap Ahli Parlimen Marang yang juga agamawan memberikan platform untuk kami bertanya. Ia kerana apabila kami bertanya sebelum ini, sering dikecam kerana dikatakan tiada kaitan. “Kita jarang dapat masa berbahas. Andai kata usul itu dibahas, ahli Parlimen pembangkang tidak akan minta ia ditangguhkan ke sesi akan datang.

Ahli Parlimen pembangkang akan bahas selama satu hari.” Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong Tan Seng Giew mengingatkan bukan mudah untuk selusuri RUU Akta 355 memandangkan agama perkara yang sensitif dibincangkan secara terbuka di negara ini. Ini kerana perbezaan antara individu dan kumpulan turut mempengaruhi persepsi keatas isu yang dibincangkan, katanya.

“Ada persepsi yang berlainan, benda putih dijadikan hitam dan sebagainya. Ini menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat dan semua penganut agama. Dengan demikian susah apabila kita hendak buat sesuatu. Agama ini satu perkara yang sensitif,” jelasnya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...