TERKINI :

Sunday, September 18, 2016

Piala Malaysia - Helang Merah terbang tinggi ke separuh akhir

Alor Setar: Kedah menceriakan lebih 25,000 penyokong setianya apabila layak ke separuh akhir Piala Malaysia selepas berpesta gol dengan menumpaskan Negeri Sembilan 5-0 di Stadium Darulaman, di sini, malam tadi.

Kemenangan selesa perlawanan suku akhir kedua itu nyata memberikan gambaran berbeza selepas aksi pertama di Stadium Paroi, Negeri Sembilan sekadar seri tanpa jaringan.

Pemain sayap Kedah Mohd Syazwan Zainon bertindak cemerlang apabila menjadi penyumbang kepada tiga gol Helang Merah hasil hantarannya kepada Shane Edward Smeltz dan Thiago Augusto.

Pemain tuan rumah bermula garang seawal minit pertama perlawanan apabila Liridon Krasniqi melakukan tandukan padu, namun melepasi palang.

Tekad untuk memburu gol pendahuluan bagi menghidupkan peluang ke separuh akhir menyaksikan tuan rumah menggandakan asakan ke kubu lawan.

Peluang Kedah nyaris terhasil pada minit ke-16 namun tandukan Thiago hanya melepasi palang gol.

Bagaimanapun jaringan ditunggu-tunggu muncul minit ke-23 apabila hantaran Syazwan disempurnakan Smeltz yang menanduk masuk.

Sorakan penyokong tuan rumah kembali bergema pada minit ke-32 apabila sepakan Smeltz dari luar kotak penalti menerjah ke gawang pelawat untuk kedudukan 2-0.

Selang lima minit kemudian giliran Thiago pula menanduk masuk gol ketiga, juga hasil hantaran Syazwan.

Bermula separuh masa kedua Kedah yang terus menyerang berjaya menghasilkan gol keempat pada minit ke-49 apabila Thiago menolak masuk hantaran Syazwan.

Malah kekebalan pertahanan Helang Merah menyebabkan pasukan pelawat sukar melepasi benteng tuan rumah untuk melakukan percubaan berbahaya.

Tuan rumah melengkapkan malam gemilang mereka apabila menghasilkan gol kelima minit ke-86 hasil sepakan percuma dari luar kotak penalti Krasniqi.


No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...