TERKINI :

Sunday, September 4, 2016

Peruntukan dipotong, penyelidik tiada dana kaji virus Zika

zika-research

PETALING JAYA: Satu kajian yang dijalankan ke atas tikus baru-baru ini menunjukkan sel otak orang dewasa juga berisiko mengalami kerosakan, namun penyelidik tempatan hanya mampu menunggu hasil kajian dari luar negara kerana mendakwa kekurangan dana untuk menjalankan penyelidikan sendiri.

Bulan lalu, Science News melaporkan penemuan saintis di The Rockefeller University dan Institut Alergi dan Imunologi La Jolla mencadangkan sel otak orang dewasa yang mempunyai sistem imun lemah mungkin lebih mudah terdedah kepada jangkitan virus Zika yang dikaitkan dengan kemerosotan kognitif dalam otak seperti kemurungan dan penyakit Alzheimer.

Pakar virologi dari Universiti Malaya, Prof Dr Sazaly Abu Bakar yang dipetik The Star Online berkata, banyak virus yang menjangkiti otak tikus tidak menjangkiti otak manusia kerana manusia mempunyai sawar darah otak berbeza.

Sehubungan itu, beliau berkata, lebih banyak kajian perlu dilakukan untuk menentukan sama ada virus Zika cenderung menjangkiti otak manusia, bagaimanapun penyelidik tempatan tidak dapat berbuat demikian apabila pembiayaan dipotong secara drastik.

"Kerajaan tidak patut menghentikan pembiayaan untuk penyelidikan dalam penyakit berjangkit. Ketika ini, kami hanya boleh bergantung kepada kajian dari negara lain dan ini tidak baik kerana ia menjadikan kita lemah dan tidak bersiap siaga," katanya.

Dr Sazaly berkata, sejak kes mikrosefali dikaitkan dengan virus Zika pada akhir tahun lalu, hampir tiada penyelidikan yang dilakukan untuk membolehkan penduduk negara ini bersedia menentang virus itu.

"Peralatan diagnostik makmal yang sesuai untuk kegunaan persekitaran kami perlu dibangunkan dan dinilai," katanya yang menyeru perdana menteri mengkaji penambahan dana penyelidikan menerusi cadangan bajet 2017.

Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya (Akademik dan Antarabangsa), Prof Awang Bulgiba Awang Mahmud dalam satu bengkel mengenai denggi baru-baru ini berkata, dana penyelidikan yang diperuntukkan kepada universiti dipotong sebanyak 60%.

"Tahun lalu, kami membelanjakan lebih RM100 juta untuk menjalankan penyelidikan dan tahun ini hanya RM40 juta, pengurangan lebih 60%. Untuk 2017, saya rasa ia tidak akan jadi lebih baik," katanya sambil menambah, dana penyelidikan dikurangkan kerana ramai menganggap ia tidak penting.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Asma Ismail berkata, penyelidik di universiti mempunyai kapasiti dan keupayaan menjalankan penyelidikan mengenai virus Zika.

"Kami mengalu-alukan cadangan untuk penyelidikan sedemikian dan sentiasa bersedia membantu Kementerian Kesihatan dalam usaha menangani isu ini. Kini, kami mempunyai universiti yang menjalankan penyelidikan mengenai virus denggi dan nyamuk yang merupakan vektor utama virus Zika," katanya.

Khamis lalu, Malaysia mencatatkan kes virus Zika pertama apabila seorang wanita dari Klang disahkan positif virus itu, selepas pulang dari Singapura pada 21 Ogos lalu.

Semalam, kes kedua jangkitan Zika disahkan apabila seorang lelaki berusia 61 tahun dari Likas, Sabah menjadi kes pertama jangkitan tempatan.

Warga emas itu juga adalah mangsa pertama jangkitan tempatan Zika yang meninggal dunia pada jam 5.30 petang semalam, akibat komplikasi jantung.


No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...