TERKINI :

Wednesday, September 21, 2016

Persempadanan semula: Baik tukar sistem pilihan raya

Tuan Ibrahim Tuan Man

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disarankan agar menumpukan usaha menukar sistem pilihan raya di negara ini daripada majoriti mudah kepada sistem berimbang atau ‘proportional’.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sistem itu dilihat lebih dapat menjamin sistem pilihan raya negara.

"Daripada membuat cadangan persempadanan semula, Pas menggesa SPR menumpukan usahanya menukar sistem pilihan raya negara kepada sistem 'proportional' yang lebih menjamin sistem pilihan raya negara berjalan secara adil dan saksama kepada pihak yang bertanding.

“Sistem ‘proportional’ ini akan menggalakkan lagi pengundi untuk turun menjalankan tanggungjawab mereka sebagai warganegara,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Sebelum ini, usaha SPR untuk menjalankan persempadanan semula dibantah parti-parti politik terutamanya pembangkang kerana mendakwa ia hanya akan menguntungkan BN.

Menurut Tuan Ibrahim, asas utama persempadanan semula ialah untuk memastikan setiap undi rakyat hampir sekata nilainya apabila dinisbahkan kepada kerusi Dun mahupun Parlimen.

“Contohnya, di kawasan Parlimen yang mempunyai 100,000 pengundi, nisbah nilai satu undi terhadap keberkesanannya dalam menentukan kemenangan satu kerusi Parlimen hanyalah 1/100,000, ataupun 0.001 peratus.

“Nilai keberkesanan satu undi di kawasan ini adalah sangat kecil, 10 kali lebih kecil jika dibandingkan dengan nilai satu undi di kawasan yang mempunyai 10,000 pengundi iaitu 1/10,000 ataupun 0.01 peratus,” katanya.

Jelasnya, Malaysia mempunyai hampir 13.5 juta pengundi berdaftar yang bakal mengundi di 222 Parlimen dan jika dibahagi secara purata patut, hanya sekitar 60,000 pengundi memberi nilai keberkesanan satu undi sebanyak 0.0016 peratus.

“Bagi memastikan nilai keberkesanan satu undi sekata, jurang nilai keberkesanan satu undi di satu-satu kawasan mestilah tidak boleh melebihi +/- 25 peratus berbanding kawasan lain.

“Bermakna jumlah pengundi sesebuah Parlimen hanya dibenarkan dalam lingkungan 45,000 hingga 75,000 pengundi sahaja. Mana-mana Parlimen kecil perlu digabungkan, manakala mana-mana Parlimen yang besar perlu dipecahkan,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...