TERKINI :

Thursday, September 15, 2016

Perkhidmatan air Kelantan akan lebih mampan selepas perjanjian penstrukturan semula antara pusat & negeri

Perkhidmatan air Kelantan akan lebih mampan

PUTRAJAYA - Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Kelantan dimuktamadkan hari ini yang bakal memanfaatkan 1.6 juta pengguna di negeri itu dengan perkhidmatan air yang lebih mampan.

Ini berikutan pemeteraian beberapa perjanjian berkaitan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air berkenaan di sini yang disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Perjanjian tersebut melibatkan Perjanjian Utama antara kerajaan Persekutuan, kerajaan Kelantan, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB); Perjanjian Kemudahan antara PAAB dan AKSB dan Perjanjian Pajakan antara PAAB dan AKSB bagi mewujudkan industri perkhidmatan air yang mampan.

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr Zaini Ujang; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Kelantan, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal; Pengerusi Lembaga Pengarah AKSB, Datuk Hanifa Ahmad dan Ketua Pegawai Korporat PAAB, Abdul Hadi Ali.

Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.  

Rundingan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air negeri Kelantan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Kelantan bermula sejak 2008 tanpa sebarang penyelesaian dan kemelut itu telah menjejaskan industri perkhidmatan bekalan air, khususnya berkaitan kualiti dan kuantiti air di negeri itu.

Dalam sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian-perjanjian itu, Ongkili berkata penstrukturan itu merupakan inisiatif kerajaan Persekutuan bagi membantu AKSB dari segi kewangan untuk mewujudkan industri perkhidmatan air yang lebih mampan.

Dengan penstrukturan tersebut, beliau berkata perihal pengurusan bekalan dan industri air diletakkan sepenuhnya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri Kelantan manakala kerajaan Persekutuan akan bertindak sebagai pengawal seperti diperuntukkan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

Melalui penstrukturan itu, katanya AKSB akan memberi tumpuan pada aspek operasi dan penyelenggaraan sistem bekalan air supaya lebih efisien dan efektif bagi menjamin bekalan air mencukupi, berkualiti dan berterusan kepada rakyat Kelantan.

"PAAB akan mengambil alih pinjaman kerajaan negeri berkaitan bekalan air berjumlah RM604 juta, termasuk RM513 juta pinjaman kerajaan persekutuan. PAAB memberi pembiayaan modal kepada AKSB bagi menaik taraf serta memperbaharui aset berkaitan bekalan air sedia ada dan membina infrastruktur air baharu," katanya.

"Ini melibatkan tempoh pembiayaan sewa pajakan lebih panjang iaitu sehingga 45 tahun. Selain itu, pembiayaan ini adalah jauh lebih rendah berbanding pembiayaan oleh bank komersial," katanya, sambil menambah sewa pajakan itu termasuk aset seperti tanah dan aset berkaitan air (pam dan stesen air).

Ongkili berkata AKSB akan membayar balik RM18.64 juta setahun kepada PAAB.  

Kelantan merupakan negeri keenam yang melakukan penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air seperti diperuntukkan di bawah Akta 655 selepas Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor.

Sementara itu, Ahmad berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan, kementerian dan agensi yang terlibat dalam penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air itu untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti air di Kelantan.

"Dalam masa empat tahun pertama selepas perjanjian dimeterai, kita akan lihat bagaimana perkembangan dan pembangunan air berlaku peringkat demi peringkat," katanya.

Katanya antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk dicapai dalam tempoh tiga tahun termasuk liputan bekalan air di Kelantan dipertingkat daripada 60 peratus kepada 75 peratus, mengeluarkan 800 juta liter air sehari berbanding 420 juta liter sekarang dan mengurangkan air tanpa hasil (NRW) daripada 48 peratus sekarang kepada 35 peratus.

"AKSB perlu memenuhi KPI yang ditetapkan. Kita akan memantau dan boleh mengambil tindakan termasuk membatalkan lesen," kata Ahmad.

Sementara itu, Mustapa yang juga pengerusi Umno Kelantan berkata, kerajaan Persekutuan mengambil langkah bersetuju dengan penstrukturan perkhidmatan bekalan air demi kepentingan rakyat negeri Kelantan tanpa mengira fahaman politik.

"Saya mengakui rakyat Kelantan memberi harapan tinggi untuk melihat peningkatan kualiti air di negeri itu. Namun, ia akan mengambil sedikit masa.

Bukan perjanjian ditandatangani hari ini, kualiti air terus dipertingkatkan esok," katanya. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...