TERKINI :

Thursday, September 29, 2016

‘Pendakwah tak cari aib orang’

Syeikh Dr Khaleel

MASIH terngiang-ngiang lagi nama tokoh ulama di negara Iraq seperti Imam Syafie, Imam Ahmad, Syeikh Abdul Qoder Al-Jailani, Syeikh Ahmad Rifa'ie, Imam Al Ghazali, Sibawaih, Khalel dan lain-lain.

Kita mungkin menyangka mereka yang pergi meninggalkan kita tanpa pewaris ilmu  dan akhlak mereka. Sangkaan kita sebenarnya salah. Dari dahulu hingga sekarang masih wujud ulama yang muncul dari Iraq yang mewarisi ilmu daripada mereka yang terdahulu.

Antara pewaris berasal dari Iraq ialah Al- Syeikh Dr Khaleel Ismael Iliyas Hafizhohullah yang berketurunan Arab. Dengan bantuan penterjemah, Ketua Wartawan Sinar Harian Edisi Utara, Mohd Idros Mohd Ali berkesempatan berbual dan menyelami perasaan tokoh yang yang dilahirkan di Nenawi, Iraq pada 26 Disember  1967 kerana sanggup mencurahkan keringat menyebarkan dakwah di utara tanah air, terutama Kedah

Boleh cerita latar belakang tuan?  

Saya membesar dalam keluarga yang sangat berpegang kuat dengan agama. Ayah dan ibu terkenal dengan orang yang sangat kuat beribadah. Datuk pula seorang ulama besar dan terkenal dengan kewaliannya. Dari kecil saya terdidik dengan ilmu agama dan akhlak yang mahmudah. 
 
Saya berkahwin dengan Ustazah Intisar Sabri Abduljabar dan dikurniakan tiga cahaya mata. Mereka menetap di bandar Mosul yang terkenal dengan gelaran Bandar Para Anbiya' dan Auliyak. Di bandar itu juga muncul Nabi Yunus yang terkenal dengan kisahnya ditelan ikan Nun.
 
Ceritakan sedikit mengenai pencapaian akademik tuan. 
 
Saya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Usuluddin di Universiti Baghdad pada tahun 1990, Sarjana dalam bidang Tafsir di Universiti Baghdad (1995), Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Tafsir di Universiti Baghdad (1990) dan mendapat Ijazah Ilmiah dalam bidang Ilmu Naqli dan 'Aqli bersanad yang diiktiraf oleh seluruh ulama Iraq. 
 
Sedikit pengalaman tuan dalam bidang pendidikan? 
 
Saya pernah menjadi pensyarah Kuliah Ulum Islamiah, Universiti Baghdad (1995-2000), Kuliah Bahasa Arab dan Ulum Quran, Kuliah Fiqh dan Usul di Universiti Islamiah Baghdad (2000-2002),  Kuliah Tarbiah Universiti Hadaramaut, Yaman (2005-2010), Kuliah Banat Universiti Hadaramaut, Yaman (2009-2011), Kuliah Mujtama' Seeiun, Hadaramaut, Yaman (2006-2007) dan Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Kedah, Malaysia. 
Saya juga menjadi tenaga pengajar di beberapa universiti, pusat pengajian agama di negara Iraq, Yaman dan Malaysia.
 
Jelaskan sedikit mengenai penglibatan tuan dalam bidang ilmiah. 
 
Saya pernah menjadi panel hakim antarabangsa bagi kajian ilmiah dalam pelbagai majalah ilmiah mahkamah, terlibat dalam pelbagai muktamar antarabangsa, seminar, pembentangan kertas kerja peringkat universiti serta mendapat pelbagai sijil dan pengiktirafan antarabangsa.
 
Saya menjadi ahli lajnah merangka strategi dan program pendidikan di Kuliah tarbiyah Seeiun, Universiti Hadaramaut,  Yaman, penyelia beberapa kajian dan pentahqiq manuskrip lama serta panel perbincangan risalah Sarjana dan PhD, penyelia lajnah Ihya Turath Islami di Kuliah Tarbiyah, Universiti Hadaramaut, penulis artikel majalah dan akhbar serta menerbitkan pelbagai kajian dan risalah ilmiah.
 
Kenapa tuan pilih Malaysia sebagai destinasi untuk berdakwah?
 
Kedatangan saya ke Malaysia kali pertama pada asalnya ialah untuk beramal dengan sunah Nabi Muhamad SAW iaitu menghubungkan silaturahim sesama mukmin. Saya datang untuk menziarahi rakan yang pernah belajar di Iraq satu ketika dahulu iaitu Dr Mustafa seorang pensyarah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis). 
 
Mungkin dengan berkat mahabbah sesama mukmin dan keilmuan, saya ditawarkan berkhidmat di Kolej Universiti Insaniah (Kuin) sebagai pensyarah kanan. Setelah dua tahun berkhidmat saya memilih untuk sepenuh masa berkecimpung dalam bidang dakwah dan pertarbiahan. 
 
Apa yang tuan lakukan selepas itu?
 
Syukur dengan kemahiran dalam 12 bidang ilmu membuatkan dakwah dan tarbiah saya mampu menarik hati masyarakat khususnya anak muda di negara ini. 
 
Umat Islam di Malaysia memiliki hati yang baik dan lemah lembut. Sifat-sifat seperti ini dapat menjadikan umat Islam di sini sebagai contoh bagi umat Islam lain di seluruh dunia tetapi dengan syarat mereka diberi pentarbiahan yang tepat oleh ulama yang memiliki
keahliannya. 
 
Untuk itu, saya dengan bantuan beberapa pembantu bertungkus-lumus siang dan malam berdakwah dan mentarbiah masyarakat agar umat Islam di Kedah khususnya dan Malaysia amnya memahami dan mengamalkan Islam yang sebenar berlandaskan manhaj Ahlul Sunnah Wal Jemaah. 
 
Saya tidak menolak sebarang permintaan program dakwah dan tarbiah walaupun dalam keadaan tidak sihat. Bagi saya agama itu terlebih diutamakan daripada diri sendiri, keluarga dan semuanya. Saya anggap diri ini sebagai seorang khadam kepada agama Islam.
 
Apa pendirian tuan dalam aspek berdakwah? 
 
Saya tidak mencampuri urusan politik kerana saya bukan ahli politik tetapi adalah ulama dan pendakwah ke jalan ALLAH.
 
Pengajian semata-mata tidak memadai untuk mendidik umat Islam tetapi amat berhajat kepada pentarbiahan. Pentarbiah yang utama ialah takut kepada ALLAH, dosa dan maksiat.
 
Perkara utama dalam dakwah saya ialah tarbiah. Mereka yang berada di atas manhaj ini tidak ada masa untuk mencari kesalahan orang lain. Ramai pendakwah tersalah kerana mereka cuba untuk membaiki dan mencari aib orang lain sedangkan mereka tidak mampu membaiki diri sendiri.
 
Saya mengadakan ceramah siang dan malam di setiap tempat tanpa rehat kerana ingin berkhidmat kepada agama termasuk daurah kitab di tempat penting seperti Jabatan Mufti Kedah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Maktab Pengajian Islam Kedah milik Mufti Kedah, Datuk Baderuddin Ahmad, Masjid Negeri Pulau Pinang, Masjid Sultan Salahudin di Shah Alam dan seluruh masjid di Kedah, Perak, Perlis, Kelantan serta Selangor.
 
Apakah jenis kitab yang tuan guna?
 
Saya mengadakan kuliah tafaqquh kitab-kitab turath seperti Kitab Al Maqosid Al Nawawiah, Syarah Jauharah Al Tauhid, Syarah Matan Isaqhuji, Matan Al Bina, Matan Al 'Izzi, Matan Al Baiquniah, Al Arba'ein Al Nawawi, Al Arba'ien Fi Zikr ALLAH Rabb Al 'Alamin, Matan Al Ajrumiah, Syarah Al Waraqot, Syarah Manzumah Al zam zami, Tuhfatul Ikhwan , Al Syifa Bi Takrif huququ Al Mustofa dan Tafsir Al Jalalain.
 
Apa matlamat tuan berbuat demikian?
 
Saya mahu menghabiskan seluruh hidup saya untuk berkhidmat kepada orang Islam, dakwah, ilmu dan agama Islam. Saya mahu mengajar umat Islam menyayangi negara dan rakyatnya seperti saya menyayangi negara ini dan rakyatnya. 
 
Pendekatan yang tuan guna untuk berdakwah? 
 
Pergerakan mengajar dan mentarbiah saya diatur oleh murid-murid bawah Pusat Pengajian Islam Darul Hikmah. Mereka bukan dalam kalangan orang awam bahkan yang menggerakkan program pengajaran dan pentarbiahan terdiri daripada ulama, ustaz, pendakwah dan penuntut ilmu agama. 
 
Selain menyampaikan dakwah Islam secara berterusan kepada masyarakat, saya menumpukan kepada dunia maya sebagai tempat suburnya dakwah seperti menggunakan laman sosial Facebook Pusat Pengajian Darul Hikmah.
 
Nasihat kepada pemburu ilmu agama?
 
Jangan jemu mencari ilmu agama kerana ia akan menjadi bekalan kita di akhirat kelak. Tidak rugi menuntut ilmu kerana ia meningkatkan kefahaman kita mengenainya dan memantapkan amalan dalam ibadat.
 
Saya berharap masyarakat bersegera mencari ulama yang murabbi mursyid supaya dapat mentarbiah diri mereka menuju kepada ALLAH Taala berlandaskan akidah dan syariat  Islam yg sebenar. Ilmu semata-mata belum dapat menyelamat seseorang dari api neraka seandainya hati  mereka tidak ditarbiah murabbi mursyid sehingga bersih daripada segala sifat mazmumah yang menghalangnya untuk masuk ke syurga ALLAH Taala.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...