TERKINI :

Friday, September 16, 2016

Pemuda Amanah seru rakyat bantah persempadanan semula kawasan pilihan raya

Seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama dan kaum diseru menolak persempadanan semula kawasan pilihan raya yang bakal memberi kelebihan kepada BN, kata Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Sany Hamzan.

Beliau berkata, rakyat perlu menyatakan bantahan mereka terhadap persempadanan kawasan mengundi di Dun dan Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.

"Sejujurnya kita tidak mampu untuk membiarkan tangan-tangan khianat ini sekali lagi memegang amanah kepimpinan, sekaligus menghancurkan negara.

"Bertindaklah sebagai pemilih (pengundi) di peringkat Dun dan Parlimen, minimum 100 bantahan sudah memadai untuk Suruhanjaya Pilihanraya menyusun semula persempadanan kawasan dengan mengambil kira suara pemilih.

"Jangan biarkan masa depan kita terus dibidakcatur oleh gerombolan 'Malaysian Official 1'," ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian dalam perutusan Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September setiap tahun.

Sany juga berkata, tindakan itu wajar dilakukan bagi memakmurkan kembali ekonomi negara dalam sambutan Hari Malaysia di tahun hadapan.

"Semoga kita mampu menghirup kembali udara kemakmuran ekonomi untuk sambutan Hari Malaysia tahun hadapan. Pastikan Najib Razak menjadi sejarah terakhir kebobrokan urustadbir negara. Pilihan di tangan kita.

"Tahun ini kita menyambut Hari Malaysia di celah-celah kemelut politik dan skandal penyelewengan dana paling besar dalam sejarah negara. Malangnya kehilangan puluhan billion wang negara itu masih belum mampu menganjak Najib Razak daripada posisi tertinggi yang disandang ketika ini," ujarnya.

Justeru katanya dengan usaha dilakukan oleh Bersih 2 untuk mengadakan himpunan rakyat menolak persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 19 November depan adalah amat ditunggu rakyat, dakwanya.

"Saat yang paling ditunggu-tunggu rakyat, Himpunan BERSIH 5 atau ringkasnya dieja 'BER5IH', muncul ketika usaha persempadanan semula disusun secara ragu, diyakini dengan tujuan mengekalkan Najib Razak sebagai Perdana Menteri untuk pilihanraya umum akan datang.

"Di sinilah titik perjuangan kita bersempena tanggal keramat 16 September 2016. Setelah 53 tahun terbentuknya negara bangsa bergelar 'Malaysia', tragedi kepimpinan kleptokrasi bakal menjadi sebab untuk kita semua berjuang," tegasnya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...