TERKINI :

Monday, September 12, 2016

Pemenang emas Paralimpik Rio berhenti kolej untuk jadi atlet nombor 1 dunia

PARALYMPICS-RIO-Ziyad-Zolkefli-Muhammad-reuters (1)
KUALA LUMPUR: Cita-cita Muhammad Ziyad Zolkefli mahu menjadi atlet nombor satu dunia akhirnya tercapai, biarpun terpaksa melupakan pengajian di kolej.

Atlet paralimpik negara itu nekad berhenti belajar di sebuah kolej swasta, selepas menerima tawaran Majlis Sukan Negara sebagai atlet sepenuh masa.

Ziyad menyumbang emas kedua negara di Sukan Paralimpik Rio dengan rekod dunia baharu dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) dengan jarak 16.84 meter pada Sabtu, selepas Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi meraih pingat emas pertama negara dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy).

Ibunya, Siti Arfah Abdul Rashid berkata, anak sulungnya itu meminati sukan olahraga sejak di bangku sekolah rendah dan sering meraih keputusan cemerlang di kejohanan peringkat sekolah mahupun daerah.

Walaupun pada mulanya tidak bersetuju dengan keputusan Ziyad menjadi atlet sepenuh masa, Siti Arfah tetap mendoakan kejayaan dan sentiasa menyokong setiap keputusan anaknya yang kini berusia 26 tahun.

"Makcik pernah beritahunya sukan ini susah untuk masa depannya, Ziyad perlu ada sijil untuk mendapatkan kerja tetap, tetapi anak saya berdegil dan mahu menjadi atlet.

"Walaupun Ziyad tidak seperti anak orang lain, dia mempunyai perancangan baik tentang masa depan. Makcik bangga dengan beliau. Ziyad juga seorang anak yang rajin dan tidak menyusahkan orang," katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Gombak.

Siti Arfah berkata, kejayaan meraih pingat emas itu juga bermakna buat Ziyad yang akan melangsungkan perkahwinan bersama Zafirah Nasir pada November ini.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan negeri akan memberi ganjaran kepada anak jati Selangor itu yang berjaya mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

"Saya merakamkan rasa gembira rakyat Selangor apabila salah seorang atlet kita dapat meraih pingat emas dan kebetulan dia datang dari Gombak. Insya-Allah selepas Aidiladha ini kita akan membincangkan satu pengiktirafan pada atlet kita yang beraya meraih pingat emas," kata Azmin.


No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...