TERKINI :

Saturday, September 10, 2016

Pas perlu bersedia dikenang sebagai parti pengkhianat rakyat, tegas Mejar Zaidi

Pas perlu bersedia dikenang sebagai parti pengkhianat rakyat  kerana  bersekongkol dengan kezaliman dan jenayah rompakan terbesar dalam sejarah negara oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan konco-konconya."

Itu kritikan bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad terhadap Pas sekiranya parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu masih terus memakan ‘umpan’ yang ditaburkan Umno-BN.

Kecaman pegawai penerangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng itu berlaku selepas bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim memanggil Pas sebagai parti politik Melayu yang tidak berguna.

Zaidi menyifatkan isu Rang Undang-Undang (RUU) persendirian mengenai pindaan Akta 355 yang dimainkan adalah ‘senjata’ agama selepas isu hudud bagi memusnahkan perpaduan pembangkang yang paling ditakuti Umno seperti pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Haji Hadi tak ikut saranan Dr Yusuf Qardawi; perundangan Islam bukan keutamaan. Tarbiyah dan penerangan adalah lebih utama. Bagaimana nak jalankan tarbiah dan penerangan jika belum jadi pemerintah?

“Sebab itu keutamaan sekarang ialah bersatu tak kira bangsa dan agama untuk jatuhkan kerajaan Umno-BN yang zalim dan merompak berbilion-bilion wang rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berpendapat perpaduan pembangkang berantakan apabila Pas menyambar ‘umpan’ yang dihulurkan Umno-BN iaitu pembentangkan pindaan RUU 355 itu.

“Logiknya jika Umno-BN mahu meminda sebarang undang-undang maka mereka boleh terus melakukannya dengan mengarahkan menteri mereka membentangkannya di Parlimen.

“Pakatan Rakyat pecah dan Pas sendiri juga berpecah. Ini satu kejayaan yang amat besar buat BN. Itu sebelum isu 1MDB terbongkar, kini apabila isu 1MDB terbongkar maka Pas amat wajar menyemak balik pendiriannya,” tegasnya.

Mengulas lanjut Zaidi berkata, usaha menumbangkan Najib dan BN perlu digiatkan kerana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) boleh dikatakan sebagai satu pertarungan "hidup mati" bagi negara ini.

“Jika Najib menang lagi maka sudah pasti beliau akan terlepas dengan jenayahnya dan paling dibimbangi akan terus merosakkan negara ini.

“Oleh itu, jika Pas benar-benar sayangkan negara ini, mereka perlu ketepikan ego mereka dan kembali bersatu bersama parti pembangkang lain,” tambahnya lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...