TERKINI :

Friday, September 9, 2016

Pakar ekonomi: Secara teori negara boleh bankrap jika hutang melebihi 55%

PETALING JAYA: Secara teori Malaysia boleh muflis sekiranya nisbah hutang semasa negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi 55%, namun hakikatnya ia bukan semudah itu, kata pakar ekonomi Prof Dr Barjoyai Bardai. Beliau menjelaskan kadar 53%, yang diuar-uarkan melalui media sosial dan laporan media, sebenarnya titik potong (cut-off point) mengikut kebiasaan.

“Kalau naik terlampau tinggi melebihi 55% itu merupakan tanda-tanda awal negara akan mengalami masalah kewangan yang besar yang boleh menjadikan ia bankrap. “Walaupun hutang negara semakin tinggi tetapi kita mempunyai sumber pendapatan yang agak kukuh dan agak tetap…maknanya tidak bergantung kepada satu-satu sektor.

“Kita pasti pertumbuhan 4% mampu dicapai seperti yang disasarkan iaitu KDNK negara akan melebih 1.2 trilion. Ini akan memberi kesan berganda untuk kita terus kukuh,” kata pensyarah Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) itu ketika dihubungi FMT. Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyatakan nisbah semasa 53.4% bagi hutang berbanding KDNK masih terkawal walaupun lebih tinggi berbanding 2007 (40.1%).

Menurut Rahman, kadar ini adalah rendah jika dibandingkan dengan kadar antara 1980 hingga 1985 apabila nisbah hutang berbanding KDNK melonjak daripada 44.0% kepada 103.4% dan kekal di tahap melebihi 55% sehingga tahun 1994. “Jika kita tidak muflis ketika kadar 103.4% pada tahun 1985, bagaimana mungkin kita boleh menjadi bankrap pada kadar 55%?” kata menteri, menjawab beberapa mesej berkaitan ekonomi negara yang tersebar luas menerusi aplikasi sosial WhatsApp.

Sementara itu, Barjoyai berpesan tidak sesuai membandingkan keadaan Malaysia dan Greece kerana ekonomi negara yang lebih kukuh. Barjoyai menjelaskan situasi ketika ini adalah kesan daripada kitaran setiap sepuluh tahun, yang mana ekonomi sejagat, termasuk Malaysia, menuju kemelesetan. “Kemelesetan terakhir adalah pada tahun 2007-2008, jadi kita memang tengah dijangka untuk menghadapi kemelesetan.

“Biasanya apabila kemelesetan berlaku akan wujud beberapa gejala dalam ekonomi yang menyebabkan kemelesetan ini berlaku lebih besar dan di Malaysia ia dipacu oleh penurunan harga minyak mentah,” jelasnya. Barjoyai menjangkakan kegawatan ekonomi seterusnya akan berlaku pada awal tahun 2017 ataupun pada akhir tahun 2017 dan berharap ekonomi negara akan pulih dalam masa singkat.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...